Sembang234

Syeikh Idris al-Marbawi

|
Biodata

Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf Al Marbawi adalah seorang ulama besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malah Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.

Beliau dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah al Mukarramah. Ketika berusia 10 tahun, beliau mampu menghafaz sebanyak 16 juzuk al-Quran di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1333 Hijrah/1913 Masehi, beliau pulang ke tanahair bersama-sama keluarganya.

Sekembalinya ke tanahair, Allahyarham Syeikh Mohd Idris Al Marbawi mendapat pendidikan pertama di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok seperti Sekolah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al Masudi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah menamatkan pengajian, Syeikh Mohd Idris Al Marbawi bertugas sebagai Guru Agama di Perak.

Pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dan berjaya mendapat ijazah 'Aliyah (Tertinggi). Semasa berada di sinilah beliau menyusun kamus Arab/ Melayu atau lebih dikenali sebagai Kamus Al Marbawi yang diterbitkan pada tahun 1937. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga serangkai: Syeikh Idris al-Marbawi, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.

Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada 5 Julai 1980, Allahyarham Syeikh Idris Al Marbawi telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia manakala pada 1 Muharram 1408H pula, beliau telah diisytiharkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah 1408. Beliau meninggal dunia pada tahun 1989.

Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Hasil karya

  1. Kamus al-Marbawi
  2. Kitab Bahrul Mazi
  3. Tafsir Quran Al Marbawi
  4. Tafsir Surah Yasin
  5. Tafsir Nurul Yaqin
  6. Tafsir Fathul Qadir
  7. Kitab Bulughul Maram
  8. Kitab Jami'ul Ulum
  9. Usulul Islam
  10. Nizamul Hayah
  11. Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.




iktiraf Hamas

|
usir duta Amerika

"Kita bersetuju dengan cadangan supaya duta Amerika diusir sahaja dari negara ini tanda bantahan terhadap perilaku mereka yang menghalalkan tindakan zalim Israel."



ISU keganasan Isreal keatas penduduk Gaza mendapat perhatian seluruh dunia. Berbagai bantahan dilancarkan sama ada dalam bentuk demonstrasi dan boikot barangan Amerika. Wartawan Harakah, IRWAN MUHAMMAD ZAIN mendapatkan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar untuk menyorot pandangan PAS dalam soal keganasan Israel ke atas penduduk Palestin.

HARAKAH: Israel telah bersetuju untuk melakukan gencatan senjata. Itu pun setelah Hamas mencadangkannya dan perlu mematuhi beberapa syarat seperti Israel perlu meninggalkan bumi Palestin. Bagaimana sikap PAS dalam soal ini?

DATO' KAMARUDIN JAFFAR: Kita menyambut baik sebarang usaha damai atau gencatan senjata yang mahu dilakukan. Namun kita juga mengambil sikap untuk melihat sejauh mana kesungguhan Israel dalam melakukan gencatan senjata ini. Seperti yang kita tahu, sebelum ini pun sudah banyak kali Israel melanggar perjanjian demi perjanjian sehingga kita merasakan apa jua bentuk diplomasi yang cuba dilakukan seolah-olah telah tertutup akibat dari karenah Israel ini.

Tuntutan yang dibuat oleh Hamas itu perlu bukan sahaja dihormati bahkan perlu juga Israel akur kerana dari segi sejarahnya juga Israel telah menceroboh Palestin. Jadi, sepatutnya bukan sahaja di Gaza tetapi diseluruh negara Palestin itu, Israel perlu keluar dan Israel juga perlu menghormati keputusan rakyat Palestin yang telah memilih Hamas untuk membentuk kerajaan. Urusan memilih kerajaan itu adalah urusan rakyat Palestin bukan urusan Israel atau Amerika atau negara-negara lain.

Biarkan rakyat Palestin menentukan sendiri siapa yang mereka mahukan menjadi ketua negara mereka dan parti mana yang layak membentuk kerajaan. Seperti yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden ketika membahaskan usul di Gaza ketika mesyuarat tergempar Dewan Rakyat baru-baru ini, Hamas dipilih secara demokrasi yang mana sistem ini didokong dan disokong kuat oleh Amerika.

Pilihanraya di Palestin pada tahun 2006 itu adalah yang paling bersih dan adil. Pilihanraya itu diawasi oleh pasukan pemantau dari eropah dan juga dari Amerika iaitu dari Carter Centre. Kalau pilihanraya itu bersih dan adil, kenapa pula nak pertikaikan kemenangan Hamas?

Yang sepatutnya dipertikaikan oleh Amerika ialah Israel itu, yang tiada negara tetapi bertindak ganas menceroboh Palestin dan membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Jadi biarpun sudah dipersetujui agar dilakukan gencatan senjata tetapi pendirian PAS jelas, Hamas perlu diiktiraf bukan sahaja oleh Amerika tetapi juga oleh kerajaan Malaysia yaang dilihat lebih condong kepada Fatah.

Sebelum ini sudah banyak demonstrasi dilakukan sebagai bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza. Setelah gencatan senjata ini dipersetujui, apakah perlu demonstrasi ini dihentikan atau ia harus diteruskan?

Pada pandangan peribadi saya, biarpun gencatan senjata telah dipersetujui namun itu tidak bermakna sebarang demontrasi harus juga dihentikan. Demonstrasi yang diadakan sejak beberapa minggu lalu setiap kali selepas solat Jumaat bukan sekadar bantahan terhadap serangan Israel ke atas penduduk Gaza tetapi ia merupakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis itu sejak 60 tahun dahulu.

Oleh itu demonstrasi perlu terus dilakukan supaya Amerika tidak semudahnya membenarkan Isreal berbuat sesuka hati terhadap Palestin dan Israel juga perlu melihat bantahan yang dibuat dari seluruh dunia ini sebagai penolakan terhadap apa yang mereka lakukan. Isreal dan Amerika mungkin boleh bersikap angkuh ketika ini tetapi ia tidak selamanya akan terus berkuasa.

Selain itu, demonstrasi besar-besaran harus tetap dilakukan agar Amerika mengiktiraf Hamas. Bantahan ini merupakan desakan kepada Amerika supaya tidak sewenang-wenangnya memberi restu kepada Isreal untuk terus menganyang Palestin. Presiden baru Amerika Syarikat, Barrcak Obama perlu melihat bantahan ini sebagai protes bukan hanya dari negara Islam tetapi negara-negara lain yang sudak muak dengan tingkah laku Israel.

Krisis berleretan selama enam dekad di bumi Palestin itu adalah antara krisis dan jenayah kemanusiaan teramat dahsyat dan antara yang paling menghanyirkan dalam sejarah moden. Sama sekali sanubari kita tidak terbayangkan bagaimana kanak-kanak, wanita dan golongan yang tidak berdaya berpanjangan menempuh ketakutan dan azab derita, di sana. Walhal Palestin pada satu masa merupakan wilayah yang penuh dengan sejarah janji dan kasih Tuhan untuk sekian manusia. Ini semua hanya pandangan peribadi saya bukan pandangan parti.

Bagaimana dengan kempen boikot barangan Amerika dan Yahudi. Pada pandangan Dato' adakah kempen ini berkesan dan perlu diteruskan?

Boikot barangan Amerika ini harus diteruskan. Biarpun ada yang beranggapan bahawa ia tidak akan memberi kesan tetapi setidak-tidaknya ia akan mewujudkan kepedulian dikalangan rakyat negara ini bahawa produk-produk yang dikeluarkan oleh Amerika yang dibeli itu merupakan dana yang membantu Israel untuk terus membedil Palestin. Image

Amerika perlu diajar dengan cara melemahkan atau melumpuhkan saja ekonominya. Seperti yang telah diperkatakan ramai, jika ekonomi Amerika lumpuh, maka bantuan terhadap Israel juga tidak akan mampu diteruskan. Ini merupakan kesedaran yang harus ada pada setiap rakyat negara ini. Kita tidak perlu gerun dengan Amerika atau tidak perlu terlalu bergantung harap dengan produk Amerika. Jika produk-produk ini tiada, ini peluang untuk anak tempatan mengeluarkan produk sendiri dan memasarkan bukan sahaj di dalam negeri tetapi juga di luar negara.

Tindakan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia, apakah sudah mencukupi atau perlu ditingkatkan lagi?

Setakat ini apa yang dilakukan oleh kerajaan memang mengecewakan. Sepatutnya sudah lama kerajaan memanggil duta Amerika, EU, Mesir dan Arab Saudi serta menyatakan bantahan secara rasmi kepada mereka terhadap apa yang dilakukan oleh Israel.

Kita bersetuju dengan cadangan supaya duta Amerika diusir sahaja dari negara ini tanda bantahan terhadap perilaku mereka yang menghalalkan tindakan zalim Israel. Sekali lagi perlu kita sedar bahawa tidak seharusnya kita gerun dengan Amerika.

Apa yang PAS tuntut dari kerajaan Malaysia supaya ia segera dilakukan dalam hal ini?

Seperti yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden sebelum ini, PAS sudah lama mengiktiraf Hamas. Jadi kerajaan Malaysia juga perlu mengiktiraf Hamas. Pengiktirafan kerajaan Malaysia ini bukan hanya setakat menyatakan di Parlimen tetapi perlu dengan cara memanggil wakil Hamas sebagai duta Palestin di negara ini. yang ada sekarang merupakan wakil dari Fatah.

Perlu kita ingat pada tahun 2006, dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysiaa menjemput wakil Fatah untuk memberikan ucapan sebagai wakil dari Palestin sedangkan ketika itu terdapat wakil Hamas dan kerajaan Hamas sudah dibentuk. Sikap kerajaan ini mengambarkan mereka tidak mengikitiraf Hamas.

Selain itu, kerajaan Malaysia hingga hari ini amat mengecewakan dari segi tindakan susulan. Kita sudah mencadangkan agar Malaysia mendesak negara-negara OIC mewujudkan sebuah pasukan ketenteraan dan memanggil persidangan tergempar OIC, kita boleh jadi tuan rumah. Tetapi nampaknya cadangan dari PAS tidak diendahkan. Apakah kita mahu menunggu lebih banyak nyawa terkorban di Palestin untuk kita memulakan satu tindakan proaktif. - azm

(Rayuan Gaza - Penghuni gaza kini diselubungi kepayahan dan keperitan angkara Zionis. Kewajipan untuk kita menghulurkan bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza. Hulurkan Bantuan anda ke Tabung Kemanusiaan Harakah, 14069010021298 BIMB) _

wasiat ke-2 al-Banna

|
Fahri Abdullah al-Masri
Sat | Jan 17, 09 | 11:34:03 pm MYT

"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.



Program tarbiyyah kedua yang terjelma melalui wasiat Hasan al-Banna ialah perihal mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan al-Quran, membaca buku-buku, mendengar ceramah agama, mengamalkan zikrullah.

Pendek kata, Imam Hasan al-Banna tidak mahu anggota ikhwan atau umat Islam itu akan terbuang waktunya walau sedikit pun dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di dalam surah al-Asr, disebutkan mengenai kerugian yang dikaitkan dengan masa. Pada asalnya, semua manusia itu hidup sentiasa dalam kerugian.

[1] Demi Masa!; [2] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Tetapi, antara mereka itu, ada beberapa golongan yang semakin berkurangan kerugiannya dengan sebab amalan dan kepercayaan mereka itu.

Pertamanya, mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah, kitab-kitabNya, nabi dan malaikat serta kewujudan akhirat. Sesiapa yang termasuk dalam golongan ini, maka mereka telah terlepas daripada belenggu kerugian yang pertama.

Kedua, mereka yang beramal soleh, membuat kebajikan, membantu meringankan beban, membuang kesusahan orang-orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya.

Ketiga, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah atas nama kebenaran.

Keempat, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah dengan penuh kesabaran.

Tetapi, awal kepada segala puncak kesedaran ini bermula apabila seseorang Muslim itu mula memahami makna yang tersembunyi dan terselit di dalam al-Quran.

Sesudah al-Quran menjadi kunci kepada pintu kesedaran seseorang Muslim itu, Hasan al-Banna berpesan kepada kita supaya kerap membaca buku-buku. Sudah tentu, buku ilmiah ini akan menuntut pergerakan pemikiran kita ke arah laluan kebenaran.

Dengan pengetahuan, seseorang Muslim tidak akan tertipu. Buku-buku ilmiah boleh juga kita dapati daripada ulasan-ulasan buku di majalah, akhbar. Ringkasnya, hubungan orang Islam dengan buku itu wajib ada.

Sekiranya, tiada buku dijumpai, maka al-Banna menyeru kita pergi mencari guru, ustaz yang menyampaikan ilmu, ceramah agama tempat terbitnya segala buah fikiran baru.

Selanjutnya sumber-sumber ilmu lain selepas itu ialah usrah atau perkumpulan kecil yang selalu membanyakkan ucapan-ucapan yang baik didengar. Diskusi perkumpulan kecil ini juga perlulah dihadiri oleh seseorang Muslim yang beriltizam dengan agamanya.

Dan, seterusnya Imam Hasan al-Banna berpesan kepada kita agar mengamalkan zikir dan beriltizam menghabiskan ratib-ratib yang kita mahu amalkan. Paling mudah seseorang itu boleh mengamalkan wirid al-Mathurat, Wazifah as-Sughra jika tiada kesempatan.

Dengan amalan wirid wazifah al-Kubra dan as-Sughra inilah seseorang itu akhirnya akan menggunakan masanya untuk membuat hal-hal kebaikan secara tak langsung.

Lalu, dengan cara membaca al-Quran, memperuntukkan masa untuk membaca buku atau berzikir, maka sepenuh kehidupannya terisi dengan waktu-waktu yang indah serta masa yang berfaedah. Lalu, terelaklah beliau menggunakan waktunya ke arah keburukan.

Kesimpulan
Maka, hendaklah setiap umat Islam itu membaca al-Quran. Tidak cuma membaca. Yang paling penting ialah mereka mesti cuba memerhati pesanan Tuhan di dalamnya.

Jangan dibiarkan hati mereka selalu kering dan akhirnya mati. Basahkan dengan sejumlah wirid, ratib-ratib dan zikrullah yang biasa diamalkannya. Hati yang sentiasa ada pertalian dengan Tuhan akan sentiasa bersimbah ilmu, ilham dan pengetahuan yang baru.

Carilah ilmu walaupun sedikit. Masa yang terluang dengan tujuan yang tidak munasabah hendaklah kita sifarkan sama sekali. Hidup seorang Muslim itu sentiasa penuh dan padat dengan hal-hal yang berguna kepada diri dan masyarakat sekitarnya.

Al-Quran itu adalah induk samudera ilmu. Akar pengetahuan dan ranting hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia menjadi pendinding kepada segala permasalahan dan ia akan berbicara kepada kita.

Sampai kepada suatu saat, al-Quran akan menjadi suara yang akan berbicara kepada jiwa kita dengan syarat kita memahaminya betul-betul mengikut nahu bahasa Arab.

Lazimkanlah diri membaca, menghafal dan yang paling utama, menghayati, merenungi setiap inci perkataannya dan lihat arahan Tuhan. Lazimi lidah kita dengan berzikir atau hati kita mesti ikut berzikir. Ketenteraman dan kedamaian akan menyelimuti kita.