Sembang234

SUAMI SOLEH

|

Hak-Hak Isteri Dari Suaminya

  • Suami yang taat dalam melaksanakan perintah serta suruhan Allah dan Rasulnya dan dapat pula membimbing isterinya.
  • Suami yang mampu memberikan nafkah sama ada zahir ataupun batin.
  • Suami yang sedia memberikan nasihat, bimbingan, dorongan, didikan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawap rumahtangga dan juga terhadap Allah s.w.t
  • Suami yang bijak dalam menyelesaikan permasalahan isteri yang timbul bersama jiran tetangga atau sebagainya.
  • Suami yang dapat memberikan pemerhatian dalam hal keselamatan, kebajikan dan kesihatannya.
  • Suami yang dapat menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan yang sempurna mengikut kemampuanya.
  • Suami yang penyabar dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapatkan sesuatu.
  • Suami yang tidak cemburu buta tanpa asas terhadap isterinya yang mana boleh merosakkan keutuhan rumah tangga mereka.
  • Suami yang sentiasa memberikan kasih sayang, belas kasihan dan pergaulan yang baik terhadap isterinya.
  • Suami yang sentiasa menjaga rahsia isterinya dan tidak di dedahkan kepada orang lain.
  • Suami yang ikhlas dan jujur serta dapat menepati janji terhadap isteri dan anak-anak.
  • Suami yang menjauhkan diri dari perbuatan maksiat seperti meminum minuman keras, berjudi, berzina, menipu, mencuri dan sebagainya.
  • Suami yang dapat memberikan penjagaan dan pemerhatian yang baik terhadap isterinya penjagaan ini meliputi semua hal termasuk kehormatannya.
  • Suami mestilah bijak memahami perasaan dan hati isteri sama ada dengan perbuatan atau perkataan, jangan biarkan dirinya dalam keadaan sedih.
  • Suami yang sentiasa mengutamakan kebersihan diri, zahir dan batin.
  • Suami mestilah menahan dirinya dari bergaul secara bebas dengan wanita lain.
  • Suami yang dapat menyelidik secara cermat dan teliti segala hal yang disampaikan oleh orang lain yang berkaitan dengan isterinya.
  • Suami yang bijak dalam memimpin tumah tangganya dengan penuh amanah serta bertanggungjawab.

KAEDAH ISLAM MEMBASMI KEMISKINAN

|

Kemiskinan merupakan wabak yang terbesar melanda manusia dari dulu hingga sekarang. Menurut Prof. Dr. Rifaat Al-Irady di dalam bukunya “Sistem Ekonomi Islam” menjelaskan bahawa terdapat 5 kaedah utama dalam membasmi kemiskinan iaitu:

1- Memperbetulkan Aqidah berkenaan ekonomi:

Dalam hal ini, usaha untuk membasmi kemiskinan bermula daripada memastikan kesahihan Aqidah berkenaan ekonomi pada diri individu faqir miskin terutamanya dan masyarakat ini merangkumi 3 perkara iaitu:

- kefahaman yang benar tentang qada’ dan qadar dalam masalah kemiskinan.

- Kefahaman yang betul tentang keseimbangan antara pengeluar ekonomi dan keperluan manusia, serta

- Kefahaman yang betul tentang hak pemilikan harta sebenar kepada Allah S.W.T

2- Pengagihan Hasil Ekonomi Mengikut Pengkhususan Yang Betul.

Islam memilih pengkhususan ekonomi yang tersendiri di mana merangkumi 3 jenis pengkhususan iaitu:

- pengkhususan antara sektor awam dan sector swasta

- Pengkhususan antara generasi kini dan generasi akan datang.

- Pengkhususan dalam sector awam.

3- Pengkhususan Ekonomi Terancang Dan Berstrategi.

Pemimpin juga bertanggungjawab menguruskan ekonomi secara terancang dan strategi berdasarkan beberapa kaedah syarak:

- Berdasarkan kepada maslahah

- Mengambil mudharat yang khusus bagi mengelakkan mudharat yang umum.

- Mudharat yang lebih berat dihilangkan dengan mudharat yang lebih ringan.

4- Mengamalkan Ekonomi Berkeutamaan.

Ini dapat dilaksanakan mengikut keutamaan berdasarkan maqasid syariah (objektif syarak) iaitu:

- Maqasid Ad-Doruriyah.

Merangkumi maslahah duniawi dan ukhrawi. Ia terangkum dalam 5 aspek iaitu menjaga agama, jiwa, harta dan akal.

- Maqasid Al-Hajiah.

Keperluan manusia bagi mengelakkan kepayahan dan kesempitan contohnya perhubungan pengangkutan.

- Maqasid Al-Tahsiniah.

Perkara yang mengindahkan kehidupan dan mengelakkan perkara-perkara yang ingin dijauhi oleh akal yang waras.

5- Pengitaran Harta Daripada Golongan Kaya Kepada Golongan Miskin.

- Peringkat wajib: tunaikan nafkah wajib ke atas anggota keluarga dan mengeluarkan zakat bagi peringkat masyarakat.

Peringkat pilihan: bersedekah

Terakhir Sya'ban Di Mesir

|
Dengan Nama Mu Yang Pemurah Lagi Penyayang.


Hening subuh yang memilukan hatiku...
Hiba terasa menyusuk kalbu..
Bertambah ubat merindu..
Mesir yang Indah suasana berdebu..
Menjadi kenangan di hari rabu..
Walau sekejap memijak bumiMU..
Tanah Anbia dan RasulMu..
Ilmu dicari berbatu-batu..
Mencari barakah tanpa segan silu..
Itulah lumrah itulah liku..
Semoga ilmu dipraktik selalu..
jangan malas dan jangan jemu..
Itulah hasil di mesir yang lalu..
........

Salam Ramadhan...


Cerita Dari Sahabat....

|
Cerita Dari Sahabat....
Semuanya bermula dari satu panggilan, tengahari 12 Ogos 2009….

ASRI
Assalammualaikum! Man, anta kat mane?

AKU
Kat syurga... hehehe (gurau. Sebenarnya baru bangun tidur)

ASRI
Cit! ana pun nak jadi cam anta lah! Hahaha… (melayan gurauan)

AKU
Maqam ana lain, hehehe. Anta, ALLAH jemput direct; lagi hebat!
(masih lagi mood gurauan @ isyarat?!)


ASRI
Dah! Dah! Jadi tak jumpe?

AKU
Jadi. Kenape?

ASRI
Jumpe lewat sikitlah. Ana nak meeting dengan rabbani.
Pas tu jumpa Pyan jap kot.tapi tak tahu lagilah…


AKU
Cam ni lah! Anta setel semua, anta call. O.k?

ASRI
O.k! Insya'ALLAH

Seperti yang dirancang kami pun bertemu di area Taman Dr. Ismail. Kami bercerita segala kisah yang mungkin termasuklah perihal Rabbani, tugas dakwah dan agenda projek baru bersama.

AKU
Insya’ALLAH, takde aral melintang album zikir baru anta dengan Hijjaz kuar Ramadhan ni

ASRI
Album mane ni?

AKU
Kan kita ade dua album yang belum release lagi.
Satu, yang amalan orang-orang melayu.
Satu lagi yang Ratib Hadad tu


ASRI
Abis anta kuar mane dulu?

AKU
kuar yang ada amalan tok janggut, mat kilau, tokku paloh tu. O.k tak?

ASRI
mmm…bagus gak tu. Jarang ada konsep album macam tu.
Paling kurang ada gak yang amalkan. Ana pun dapat saham kat sana nanti.


AKU
Anta tahu title album ni

ASRI geleng kepala. Kemudian didongak-dongak kecil kepalanya dengan matanya yang turut bergerak-gerak sebagai isyarat mahu tahu.

AKU
Amalan Perisai Ghaib!

ASRI
Fuhyooo!!! Masya’ALLAH! Masalahnya ana sendiripun tak ghaib lagi.

AKU
mana tau….tah-tah anta ni dah jadi wali …..

ASRI
Amin!!!!

Kami gelak besar selepas tu. Semua yang ada di restoran itu memandang.

ASRI
Man, anta nak tengok ana ghaib tak?

AKU
Cubalah…….hehehe

ASRI
Tapi kalau ana tak datang balik, anta cari ana tau. Jangan nangis lak….

Kemudian, ASRI bangun dari tempat duduk dan berlalu dari situ…

AKU
Hah!? Nak pi mana pulak tu???


ASRI
Tandas lah! Ni ghaiblah ni.
Ghaib dari mata anta…(tersengih)


AKU tergelak. Tersengih. Pandai ASRI kenakan AKU. Beberapa minit kemudian, ASRI kembali.
Kami pun bercerita layaknya seorang sahabat dengan sahabat – persis abang dan adik; tentang buku ASRI yang terbaru. AKU ceritakan susunan buku yang hampir siap itu.

ASRI
Okey tu…tapi ana letak tajuk buku kali ni boleh?


AKU
cantikkkk! Apa dia?


ASRI
Maaf, Kalau Aku Tak Sempurna…. Ok tak?


AKU
Wah! Ini sudah lawan ayat namanyer….hehehe


Tawa kami berderai lagi…..
Kami terus berceritera lagi, tentang jodoh AKU pun ada; sempat juga sekali dua AKU terkena sedas dua nasihatnya. Kata-katanya kali ini begitu mengesan sangat di hati AKU.

ASRI
Man…apa pun, ana setuju jer dengan anta.
Ana nak balik awal lah ari ni. Rasa letih. Penat.
Esok 9 pagi nak gi RTM , ada program…


AKU
Okeylah! Anta baliklah terus. Rehat.

Kami pun bersalaman. Kuat genggamannya. Ditepuknya bahuku beberapa kali. Kami berpecah arah. Tak jauh kaki AKU melangkah, ASRI memanggil.

ASRI
man, anta tahu tak? Dah lebih 15 tahun kita berkawan kan.
Tapi takde satu pun gambar ana dengan anta.
Meh! Sini kita tangkap gambar jap…


AKU
hahaha…merepeklah! Tak penting tu. Lain kali ajer lah.
Malu lah nak bergambar dengan orang yang wajah ahli syurga ni


ASRI ketawa melihat keletah malu-malu kucing AKU. Dan aku pun terus meninggalkannya tanpa menunaikan permintaan itu. Yups! Permintaan terakhirnya… kami berpisah untuk berpisah selamanya!

Ya ALLAH…aku rindu. Aku semakin rindu. Rindu sangat.


“33 jam yang lalu, dia masih tak lokek dengan senyuman, dia mampu bercanda tawa di sebuah pertemuan hati ke hati. Tapi hari ini tadi, dia kaku – diam seribu bahasa – namanya ku panggil tak bersahut lagi. Tangan yang semalam bersalaman, menjadi tangan yang memandikannya; mengkafaninya.
Ya ALLAH benar kah semua ini?
Mimpikanlah ini semua!!!!!”


sumber : http://silakanterpesona.blogspot.com/

Puasa Selepas Nishfu

|
Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-

"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
  1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
  2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
  3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
  4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.
Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com/

SAIYIDINA UTHMAN BIN AFFAN R.A.

|
Di zaman kebangkitan Islam dahulu terdapat beberapa sahabat yang terkenal kerana banyak mengorbankan harta-benda dan kekayaannya untuk membela Agama Allah. Salah seorang di antara mereka yang paling terkemuka sekali ialah Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. Selain daripada beliau ialah Saiyidina Abu Bakar Al Siddiq, Abdul Rahman Bin Auf dan lain-lain lagi. Apatah lagi memang Saiyidina Uthman R.A. baik sebelum memeluk Islam mahupun setelah Islam, merupakan satu-satunya tokoh saudagar dan peniaga yang paling berjaya sekali. Dialah sahabat Rasul yang banyak mengorbankan harta-bendanya bagi menegakkan perjuangan Islam.

Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. adalah Khalifah Islam yang ketiga sesudah Saiyidina Umar Al Khattab R.A. Beliau telah memerintah Kerajaan Islam hampir sebelas tahun lamanya dan tahun Masihi 644 hingga 655 Masihi. Beliau memperoleh gelaran "Zun Nurain yang ertinya yang memiliki dua cahaya. Sebabnya ialah kerana Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkannya dengan dua orang puterinya iaitu yang pertama kali dengan Rugayyah dan sesudah wafatnya semasa Perang Badar, maka Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkannya pula dengan Kalthum. Demikian besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah s.a.w. terhadap Saiyidina Uthman R.A. Tatkala isterinya yang kedua itu pula meninggal, Rasulullah s.a.w. telah berkata kepadanya, "Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu.

Sahabat besar ini termasuk orang-orang pertama yang masuk Islam. Beliau datangnya dan suku atau puak Quraisy yang paling keras sekali tentangannya terhadap agama Islam dan Rasulullah s.a.w., iaitu puak Umaiyah. Menurut catatan sejarah, Saiyidina Uthman Bin Affan termasuk orang kelima diajak oleh Saiyidina Abu Bakar Al Siddiq untuk memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, Uthman R.A. termasuk orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah s.a.w. kerana kemuliaan dan kehalusan budipekertinya. Memang sesungguhnya Saiyidma Uthman Bin Affan R.A. terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat tinggi budiperkertinya, sangat penyantun, lemah lembut lagi pemalu. Sebagai memperlihatkan kecintaan dan penghargaan Rasulullah s.a.w. kepadanya itulah maka beliau telah menjadi pilihan baginda untuk dikahwinkan dengan puteri-puterinya seorang demi seorang selepas meninggal seorang lepas satunya. Sebagai memuji keluhuran budi akhlaknya itulah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, "Malaikat sangat malu kepadamu hai Uthman. Memang Rasulullah s.a.w. biasanya tidak keberatan menerima kedatangan para sahabatnya dalam berpakaian yang biasa sahaja, tetapi apakala diketahui bahawa Saiyidina Uthman R.A. akan datang mengunjunginya, maka baginda pun mengenakan pakaiannya yang sewajarnya sebagai menghormati sahabatnya yang disegani sendiri oleh para malaikat.

Dalam suatu riwayat lain adalah dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Saya bermohon kepada Tuhanku supaya tidak ada seorangpun yang pernah menjadi menantuku atau menjadi mertuaku dimasukkan ke dalam neraka. Hal yang demikian itu tercapai oleh Saiyidina Uthman R.A. kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Tiap-tiap Nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga.

Ketika suasana pergolakan di Mekah menjadi tegang dan meruncing disebabkan kaum musyrikin Quraisy melakukan tekanan yang hebat terhadap kaum Muslimin, Saiyidina Uthman termasuk orang-orang yang turut melakukan hijrah ke Abyssinia. Saiyidina Uthman R.A. berserta isterinya adalah termasuk rombongan yang menjalankan hijrah yang bersejarah itu. Beliau tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya itu kerana beliau sedar bahawa hijrah tersebut adalah termasuk dalam usaha untuk menegakkan agama Allah. Sekembalinya beliau dan Abyssinia, beliau pun tinggallah di kota Mekah buat sementara waktu. Kemudian beliau telah melakukan hijrah pula ke Madinah untuk menyusul Rasulullah s.a.w. yang telahpun lebih dahulu berhijrah di kota tersebut.

Setelah berada di Madinah, Saiyidina Uthman R.A. pun mulalah menjalankan usaha perniagaannya hingga beliau berjaya menjadi saudagar yang kaya. Namun demikian beliau tidak teragak-agak sedikitpun bagi mempergunakan seluruh kekayaan dan harta bendanya bagi menyahut seruan jihad bagi menegakkan kesucian Islam. Sebagai seorang sahabat besar, banyak sekali pengorbanan Saiyidina Uthman Bin Affan terhadap Islam. Di zaman permulaan perjuangan Islam di Madinah, pernah kaum Muslimin menghadapi kekurangan air, lalu Saiyidina Uthman Bin Affan telah membeli sebuah kolam yang bernama Bir Ruma dan seorang Yahudi. Pada saat itulah Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang antara kamu yang membeli sumur Ruma lalu dijadikannya wakaf bagi keperluan kaum Muslimin serta ia menimba air sumur tersebut maka orang yang berbuat demikian itu Allah akan menyediakan tempat minuman baginya dalam syurga. Begitu juga tatkala Masjid Madinah rnenjadi terasa sempit sebab semakin banyaknya orang yang bersyalat di dalamnya, maka dengan spontan Saiyidina Uthman membeli lima rumah yang sederet di samping masjid untuk dibongkar, kemudian dibangunkan tambahan masjid agar menjadi lebih luas dan besar lagL

Selain daripada pengorbanan harta benda, Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. juga adalah sahabat yang paling banyak membantu Rasulullah s.a.w. dalam berbagai masalah. Beliau adalah salah seorang penulis wahyu dan juga pernah menjadi utusan Rasul untuk menemui kaum Quraisy pada tahun keenam hijrah. Disebabkan besarnya pengorbanannya terhadap Islam maka tidaklah menghairankan kiranya beliau tergolong salah seorang yang paling diridhai oleh Rasulullah s.a.w. pada waktu wafat baginda.

Selain memiliki sifat pemalu, Saiyidina Uthman R.A. ialah seorang sahabat akrab Rasulullah s.a.w. yang masyhur dengan sifat waraknya, kuat beribadat dan amat taqwa kepada Allah, dia mengerjakan segala perintah Allah dan sekali-kali tidak melanggar larangan Allah. Pada tiap-tiap tahun beliau menunaikan ibadah Haji dan dalam sepanjang tahun pula beliau berpuasa setiap hari kecuali pada hari-hari yang ditegah berpuasa. Beliau sangat mengambil berat terhadap kaum keluarganya dan sangat bertimbangrasa dan kasih mesra kepada mereka. Beliaulah juga seorang sahabat yang sangat pemurah dan sangat takut akan kemurkaan Allah, bila beliau mendengar bacaan Qur'an darihal azab api neraka maka air matanya bercucuran keluar oleh rasa takutnya.

Khalifah Uthman Bin Affan R.A. telah dipilih sebagai Khalifah apabila wafatnya Saiyidina Umar Ibnul Khattab apakala beliau menyatakan kesanggupannya secara tegas kepada AbduIl Rahman Bin Auf yang bertindak sebagai formatir. Beliau ialah seorang sahabat yang tua tatkala dilantik menjadli Khalifah iaitu ketika berumur 70 tahun. Beliau seorang yang bersifat lemah lembut, tidak gemar menggunakan kekerasan dalam menjalankan pemerintahannya, hal ini berbeza sekali dengan Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar R.A. yang menjadi Khalifah sebelum daripadanya, mereka kedua-duanya mempunyai sifat tegas dalam menghadapi sesuatu masalah dalam zaman pemerintahannya. Pada masa zaman pemerintahannya, keadaan pemerintahan Islam dan semasa ke semasa mula menjadi bertambah luas dan mula menempuh satu zaman peralihan dan kehidupan asal orang-orang Arab menuju suatu kehidupan baharu dan pada zamannyalah bermulanya zaman kemewahan hidup yang timbul daripada hasil penaklukan negeri-negeri yang baharu.

Dalam zaman pemerintahannyalah orang-orang Islam mula merasa hidup mewah dan menerima kemakmuran. Mereka yang menghadiri majlis-majlis jamuan Khalifah Uthman pada zaman itu melihat perbezaan besar jika dibandingkan dengan jamuan yang diadakan pada zaman Khalifah Umar. Sebagai seorang Khalifah beliau merasa bahawa rakyatnya berhak menikmati hidup yang makmur itu, tetapi beliau tidak membenarkan kepada orang-orang Islam bersenang-senang dengan nikmat kemakmuran itu hingga melanggar hukum Allah. Pada zaman beliau ramai daripada para sahabat Rasul keluar meninggalkan bandar Madinah hermastautin di wilayah-wilayah yang baharu diperintah oleh pemerintah Islam. Pemergian mereka itu tidak dilarang oleh Saiyidina Uthman. Jikalau pada zaman pemerintahan Khalifah Umar para sahabat tidak dihenarkan keluar dan bermastautin di negeri-negeri yang baharu diperintah oleh orang-orang Islam, tetapi pada zaman Khalifah Uthman R.A. tegahan itu dihapuskan. Saiyidina Uthman tidak begitu mengambil berat terhadap gabenor-gabenor Islam yang memerintah di wilayah-wilayah Islam khususnya mengenai perjalanan mereka, untuk menjaga nama baik mereka dan untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang mungkin menimbulkan fitnah. Berlainan dengan Saiyidina Umar R.A. yang sangat mengambil berat tentang kedudukan wakil-wakilnya yang memerintah.

Pada zaman peinerintahan Saiyidina Uthman Bin Affan inilah mulai timbulnya beberapa masalah yang belum pernah berlaku sebelumnya. Timbulnya peristiwa-peristiwa yang baharu itu bukanlah disebabkan oleh kecuaian Saiyidina Uthman ataupun kerana beliau sengaja meringan-ringankan hukum, bahkan hukuman-hukuman yang sewajarnya tetap dikenakan ke atas siapa juga yang bersalah yang melanggar larangan Agama Islam. Tetapi bagaimanapun percubaan-percubaannya itu tidak menghasilkan hasil yang baik berlainan dengan apa yang dijalankan oleh Saiyidina Umar Ibnul Khattab dalam masa pemerintahannya dan mi menyebabkan fitnah-fitnah makin banyak berlaku antara pihak pemerintah dengan orang ramai.

Satu perkara yang mungkin menjadi punca kelemahan pemerintahan Saiyidina Uthman ialah sifatnya yang mudah dipengaruhi oleh cakap-cakap orang lain terutama oleh kaum keluarganya sendiri. Mereka itu pernah mencampuri urusan pemerintahan terutama salah seorang keluarganya yang hernama Marwan Bin Hakkam. Perbuatannya yang membiarkan keluarganya campur tangan dalam pemerintahan serta perlantikannya ke atas ramai anggota keluarganya dalam pemerintahan itulah yang selalunya menimbulkan rasa tak puashati di kalangan penduduk Madinah khasnya dan rakyat Islam umumnya.

Selain daripada itu ada lagi beberapa perkara yang dilakukan oleh Saiyidina Uthman yang telah menimbulkan rasa tak puashati orang-orang Islam pada masa itu. Salah satu danpada perkara-perkara itu ialah keputusan membenarkan bapa saudaranya Al Hakam Bin Abi Al As dan beberapa orang keluarganya kembali semula ke Madinah, padahal Al Hakam telah dipenintah keluar dari Madinah kenana sikap penmusuhannya terhadap Rasulullah s.a.w. dan Saiyidina Uthman telah merayu kepada Rasulullah pada masa hayatnya lagi meminta baginda membenarkan bapa saudaranya itu kembali tetapi Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan permintaannya itu hingga pada zaman Saiyidina Abu Bakar R.A. dan Saiyidina Umar R.A. dia tidak dibenarkan juga kembali. Apabila Saiyidma Uthman dilantik menjadi Khalifah bapa saudaranya itu dihenarkan kembali ke Madinah., bukan setakat itu sahaja namun apabila ia mati kuburnya dibina dengan indahnya dan anaknya yang bernama Al Hanith dilantik pula menjadi pegawai menjaga tempat-tempat perniagaan di Madinah. Sementara perlantikan Saiyidina Uthman ke atas anaknya Al Hakam yang bernama Marwan menjadi sebagai menteni kepadanya itu dikecam hebat juga oleh orang-orang Islam. Beberapa orang sahabat yang terkemuka telah membantah perlantikan itu tetapi tidak dipedulikan oleh Saiyidina Uthman. Mengenai pengkembalian bapa saudaranya ke Madinah, Saiyidina Uthman memberitahu sahabat-sahabatnya bahawa beliau telah memohon persetujuan Rasulullah s.a.w. dan itulah sebabnya beliau berani melakukan demikian.

Selain daripada itu orang-orang Islam merasa tak puas hati juga tenhadap pemecatan yang dilakukan oleh Saiyidina Uthman ke atas pegawai-pegawai yang dilantik pada zaman Saiyidina Umar Ibnul Khattab dan digantikan dengan orang-orang baru dari kaum keluarganya. Perkara-perkara seperti yang tersebut itu berlakunya di Madinah pusat pemerintahan Islam pada masa itu. Sementara di lain-lain wilayah Islam tak sunyi juga daripada adanya golongan-golongan yang menaruh rasa curiga dan tak puas hati terhadap Saiyidina Uthman R.A. Pemenintahan Saiyidina Uthman itu mula menempuh satu percubaan yang besar iaitu dengan tumbuhnya punca fitnah di Madinah yang akhirnya menjalar ke seluruh wilayah-wilayah Islam yang lain. Tatkala itulah seorang musuh Islam bernama Abdullah Bin Saba, seorang Yahudi yang mengaku dirinya memeluk Islam telah membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Khalifah Uthman R.A. dengan tujuan untuk memecah belahkan kaum Muslimin sesama sendini.

Seonang sahabat yang tenkenal bennama Abu Zar juga telah menentang hebat pemerintahan Saiyidina Uthman R.A. dengan membuat cabaran ke atas Khalifah itu dan juga ke atas Muawiyah yang pada masa itu sebagai wakil Khalifah memerintah kota Damshik. Di negeri Syam Abu Zar telah termakan hasutan dan Abdullah Bin Saba lalu menentang Muawiyah kerana menurut pendapatnya pernah Mauwiyah mendakwa bahawa harta Baitulmal semuanya adalah kepunyaan Allah bukan kepunyaan onang-orang Islam seolah-olah dia bercadang tidak akan membahagikan harta baitulmal kepada orang ramai. Inilah hasutan yang dibuat oleh Abdullah Bin Saba kepada sahabat tenkenal iaitu Abu Zar yang memang berjiwa militan dan keras itu. Memandangkan bahaya dan pengaruh Abu Zar itulah maka akhinnya Saiyidina Uthman Bin Affan mengambil tindakan untuk mengasingkan Abu Zar Al Ghifari dari orang ramai lalu dibuangnya ke satu tempat bernama Raudah. Di tempat pembuangannya itu beliau terus-menerus juga membuat kecaman ke atas Saiyidina Uthman R.A. hingga akhin hayatnya beliau meninggal dunia pada tahun 31 Hijrah.

Sementara itu kegiatan-kegiatan yang dilakukan secara gigih oleh Abdullah Bin Saba untuk memecah-belahkan ummat Islam telah mendapat kejayaannya di Mesir, Kufah dan Basrah. Beliau telah benjaya mempengaruhi jiwa orang ramai dengan menyebarkan satu fahaman yang belum pernah dibawa oleh sesiapa sebelum itu bahawa kononnya Nabi Muhammad s.a.w. ada menetapkan seorang penggantinya iaitu Saiyidina Ali Bin Abu Talib R.A. Di Mesir Muhammad Bin Abu Bakar, iaitu anak Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq telah menyokong gerakan Abdullah Bin Saba itu kerana didorong oleh pertalian kerabat antaranya dengan Saiyidina Ali R.A. iaitu sebagai anak tiri kepada Saiyidina Ali Bin Abu Talib yang beristerikan balu Saiyidina Abu Bakar R.A. iaitu Asma Binti Umais ibu Muhammad Bin Abu Bakar. Muhammad Bin Abu Bakar menentang keras pemerintahan Saiyidina Uthman kerana sepucuk surat yang dihantar oleh Marwan Bin Hakkam dari Madinah kepada Abdullah Bin Saba, gabenor Mesir menyuruhnya membunuh Muhammad Bin Abu Bakar dan juga membunuh sekelian orang yang menyokong Muhammad sama ada dan golongan Muhajirin ataupun dan Ansar.

Kesudahannya golongan-golongan yang menentang Khalifah Uthman Bin Affan yang datangnya dan wilayah Mesir, Kufah dan Basrah itu membuat satu pakatan menuju Madinah untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan meneka kepada Khalifah. Apakala mereka dapati tuntuntan-tuntutan mereka itu tidak dapat ditunaikan sepenuhnya oleh Khalifah maka mereka pun melakukan kepungan terhadap istana Khalifah Uthman Bin Affan. Setelah beberapa hari melakukan kepungan, mereka akhirnya merempuh masuk lalu membunuh Khalifah Uthman Bin Affan yang tenkenal kenana sifat sabar dan santunnya itu. Ketua pemberontakan itu bernama Al Ghiffari telah memukul Saiyidina Uthman dan kemudiannya diiringi pula oleh tetakan dengan pedang dari seorang pemberontak lain, pukulan mana disanggah oleh isteni Saiyidina Uthman bernama Naelah dan kena pada jari tangannya lalu putus. Akhinnya Saiyidina Uthman mati terbunuh pada 35 Zulhijjah tahun 35 Hijrah dan akibat dan kewafatannya itu maka bermulalah babak-babak yang mendukacitakan dalam lembaran sejarah Islam.

Ulamak Akhirat VS Ulamak Dunia

|
Bismillahirrahmanirahim..
Ulamak dan Ilmu adalah satu gabungan yang tidak dipisahkan kerana tidaklah dipanggil ulamak jika tiada ilmu. Ulamak mempunyai peranan yang penting dalam memperkasa dan memperjuangkan ilmu Allah yang dimilikinya sama secara rahsia atau terang-terangan. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu nescaya dia akan takut pada tuhannya yakni Allah. Ulama juga merupakan warisan daripada Nabi SAW dalam menyampaikan agama Allah.

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ
"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya hanyalah Ulama."
surah fatir : 28

العلماء ورثة الأبياء
"ulamak-ulamak itu pewaris para nabi-nabi"

Ulamak mempunyai prinsip-prinsip yang penting, di mana prinsip-prinsip ini wajib ada dalam dirinya. Di antaranya :

1) Menyampaikan risalah Islam :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ‌ۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ ۥ‌ۚ
وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ‌ۗ
"wahai Rasul! sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika engkau tidak melakukan ( apa yang diperintahkan itu ) bererti engkau tidak menyampaikan amanatNya.Dan Allah memelihara engkau dari ( gangguan ) manusia" surah al-maidah : 68

2) Menjelaskan :


وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلذِّڪۡرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ
"dan kami turunkan Az-Zikr ( Al-Quran ) kepadamu, agar engkau menerangkan kepada manusia" surah an-nahl : 44

3) Memutuskan permasalahan :

فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ
ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً (٥٩
"jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya" surah an-nisa' : 59

4) Contoh atau tauladan :

Dua golongan manusia, apabila dia baik keseluruhan maka manusia menjadi baiklah keseluruhannya, tetapi apabila kedua-dua golongan ini tidak baik maka keseluruhan manusia turut menjadi tidak baik. Golongan itu ialah pemimpin dan ulamak.

sabda nabi SAW :

افت الدين ثلاثة فقيه فاجر وإمام جائر ومجتهد جاهل
"rosak agama kerana tiga sebab: ulamak yang jahat, pemimpin yang zalim, mujtahid yang jahil"

Di mana Imam Al-Ghazali R.A telah menyatakan dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, bahawasanya ulamak ini ada dua golongan :

1) ULAMAK AKHIRAT :
ulamak akhirat mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang berbeza dengan ulamak yang lain :

a) Mewarisi ilmu Nabi SAW
b) Mewarisi akhlak Nabi SAW

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ۬ (٤
"dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur"
surah al-qalam : 4


ِِApa yang hendak dimaksudkan dengan akhlak nabi adalah keberanian dalam menyampaikan risalah Allah. Berani berdepan dengan musuh pabila menyeru dan mnyampaikannya. Berani menyampaikan yang benar walaupun perit baginda merasanya.

Sebagaimana Dr. Hamka dalam tafsirnya. akhlak itu bermaksud berani.

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَـٰلَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُ ۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبً۬ا (٣٩
"(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka)." surah al-ahzab : 39


فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٩٤
"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu." surah al hijr : 94

c) Mewarisi perjuangan Nabi SAW

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ (٤١
" Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." surah al-hajj : 41

berkata Imam Al-Ghazali tentang ulamak akhirat:

a)mereka seperti lilin yang terbakar (sanggup bersusah payah untuk selamat orang lain)
b)kehidupan yang zuhud (dunia di tangan akhirat di hati)
c)Amal (mengamalkan ilmu sebelum menyuruh orang lain mengamalkannya)

2) ULAMAK DUNIA :

Nabi Muhammad SAW telah memperupamakan ulamak dunia ini seperti dajjal bahkan lebih teruk dari dajjal. Kerana mereka ini telah melakukan kesilapan yang begitu besar di antaranya ialah :

a) Menyembunyikan kebenaran

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ‌ۙ
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَلۡعَنُہُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُہُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ (١٥٩
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk."
surah al-baqarah 159

b) Menyelewengkan Nas-nas Al-Quran

فَوَيۡلٌ۬ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِأَيۡدِيہِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَـٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬‌ۖ فَ
وَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا ڪَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ (٧٩
"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu." surah al-baqarah : 79

c) Kasihkan harta dan pangkat

وَءَامِنُواْ بِمَآ أَنزَلۡتُ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا مَعَكُمۡ وَلَا تَكُونُوٓاْ أَوَّلَ كَافِرِۭ بِهِۦ‌ۖ
وَلَا تَشۡتَرُواْ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬ وَإِيَّـٰىَ فَٱتَّقُونِ (٤١)
وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٤٢
"Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertakwa (42) Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." surah al-baqarah : 41 & 42

وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ ٱلۡڪَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُڪۡهُ يَلۡهَث‌ۚ ذَّٲلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا‌ۚ
فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ (١٧٦
"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir." surah al-'araf : 176

d) Mendiamkan diri (bila berlaku kemungkaran)
e) Hasad dengki (tidak mahu Islam berkembang)
f) Suka menonjolkan diri (bincang tentang perkara-perkara yang bukan-bukan)
g) Bangga diri

Dengan sedikit ilmu ini dapatlah kita aturkan diri kita. Buatlah acuan diri yang sebetulnya semoga kita tidak tegolong dengan orang-orang yang dimurkai Allah. Tepuk dada tanya iman.
Wallahu 'alam

Sebalik Atas Nama Cinta

|
Atas Nama Cinta (UNIC)

Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.

Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta.

Rela aku pendamkan,
Impian yang tersimpan,
Enggan ku keasyikan,
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta,
Pada Dia yang lebih sempurna.

Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba,
Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murkaNya menghukum leka,

Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
Ku nafikan yang fana,
Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya redhaNya,
(Agar disuluh redhaNya).

Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,
Kerna sesungguhnya haikikat cinta,
Dia yang Esa.
Saratkan hati ini,
Dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya

Lirik: Atie (Hijjaz Record Sdn Bhd)



Kata penulis lirik pembuka bicara:

Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.

Al-Faqir yang serba jahil ini menambah dengan izin Allah s.w.t.:-

Perkataan "tika mata" merujuk kepada, sejak daripada mata seseorang manusia melihat akan dunia ini. Oleh yang demikian, maksud zauqi (perasaan sufiyah) dalam perkataan "diuji manisnya senyuman" merujuk kepada segala bentuk keduniaan.

Dunia dan keindahan serta kelazatannya seolah-olah suatu "senyuman" yang menggoda hati manusia agar menghampirinya dan melupakan hakikat asal tujuan kewujudannya di dunia ini. Sejak mata boleh melihat akan keindahan dan kecantikan duniawi ini, hati sudah mula terpanggil untuk berkenalan dengan duniawi ini, di samping melupakan perjanjiannya dengan Tuhannya sewaktu di alam roh lagi, iaitu: "Alastu birobbikum, Qolu bala" (Allah s.w.t. bertanya: Adakah kamu (roh manusia) mengaku Akulah Tuhanmu). Maka, para roh menjawab: "Ya, kami mengakuinya") seperti yang dirakamkan di dalam Al-Qur'an.

Tapi, sejak mata melihat akan keduniaan, hati dan roh mula tertanya-tanya, tentang keduniaan yang dilihatnya. Hati semakin terkeliru, ketikat melihat, seolah-olah dunia dan isinya ini mampu berperanan dalam kehidupannya. Tampak dari sudut zahir, bahawasanya ada yang berkuasa dan berperanan selain dari Allah s.w.t., bagi hati yang tekeliru.

Sheikh Sa'id Hawa mengatakan: "Hijab pertama manusia dari Allah s.w.t. ialah, takkala si bayi sedang menangis mengadu kelaparan dan dahaga, lalu si ibu menyusukannya. Bisik hati si bayi itu, "oh, ada lagi yang boleh memberi rezeki dan mengenyangkan selain daripada Allah s.w.t?"

Kekeliruan inilah yang menjadi hijab pertama bagi seorang insan, dan terus-menerus membesar dengan bersandarkan kepada keduniaan, sehingga terlupa Tuhan kepada dunia dan segala isinya. Sejak kecil lagi, ketergantungannya sudah kepada makhluk, dek si roh tersanggut dalam jasad yang mana, mata menjadi peranan utama dalam memberi persepsi kepada manusia, yang akhirnya mengambil tempat "mata hati" (bashirah) dalam diri manusia.

Kerna itulah, dalam lirik tersebut ada menyebut: "tika mata", kerana dengan sebab matalah, seseorang semakin meninggalkan peranan mata hati, yang merupakan tempat bermu'amalah dengan Allah s.w.t..

Adapun mata jasad, merupakan antara pancaindera yang utama bagi jasad untuk berinteraksi dengan alam kebendaan duniawi ini, sedangkan mata hati, merupakan pancaindera yang paling utama bagi roh untuk berinteraksi dengan alam qudsiyah/ghaib dan berinteraksi dengan Allah s.w.t..

Kerana itulah, ada hadis mengatakan bahawa: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat bentuk tubuh kamu, tetapi melihat hatimu dan amalmu". Adapun dunia dan isinyalah yang melihat bentuk tubuh jasmanimu dan luaranmu. Maka, sesiapa yang mengutamakan bentuk tubuh dan jasad daripada kondisi hatinya, bererti dia telah mengutamakan pandangan dunia dan isinya kepadanya, berbanding pandangan Allah s.w.t. ke atasnya. Dari sinilah, seseorang tahu, siapakah yang diutamakannya, Allah atau isi dunia? Fafham (maka fahamilah).

Tika mata, terpegun dengan keduniaan, seperti kecantikan wanita (atau ketampanan jejaka bagi wanita), kemewahan harta, kemegahan takhta dan sebagainya, maka syahwat dan nafsu mula menyeru insan agar mengejar apa yang diingininya daripada kenikmatan-kenikmatan duniawi sehingga sampai mengabaikan kehambaan kepada Ilahi.

Kecantikan duniawi ini sebenarnya suatu ujian, bagi mata, untuk mata hati. Allah s.w.t. berfirman: "Sesungguhnya, diperhiaskan kepada manusia itu, akan cinta syahwat (keduniaan) dari kalangan perempuan-perempuan (iaitu: lawan jenis), anak pinak, harta benda..."

Allah s.w.t. sendiri menggunakan istilah: "diperhiaskan", dengan membawa maksud, perkara-perkara yang diingini dan dicintai oleh syahwat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang cantik, tetapi diperhiaskan agar kelihatan cantik di kaca mata jasmani, walhal, mata hati mengetahui akan kejelekannya.

Diperhiaskan akan duniawi ini tidak lain melainkan untuk menguji para hambaNya, siapakah yang jujur denganNya dan siapa pula yang berdusta terhadapNya, dalam perjanjian "alastu birobbikum" tersebut. Allah s.w.t. pada hakikatnya sudah mengetahui, siapakah dari kalangan roh yang menipu dalam perjanjian tersebut, dan siapa pula yang jujur. Tetapi, sengaja Allah s.w.t. meletakkan manusia ke alam duniawi terlebih dahulu, sebelum melayan para hambaNya dengan nikmat syurga, untuk menjadikan hujah ke atas manusia sendiri, supaya manusia sendiri akan membuktikan kepada dirinya sendiri, bahawa samada dia jujur dalam perjanjiannya ataupun berdusta dalam perjanjiannya terhadapNya. Jadi, dunia inilah tempat ujian.

Kerana itulah, lirik mengatakan bahawa: "tika mata, diuji manisnya senyuman...".

Keindahan dan kemanisan senyuman merupakan suatu kiasan kepada perhiasan duniawi yang dihias untuk menguji, siapakah dari kalangan para hambaNya yang jujur terhadapNya, dan siapa pula yang mendustaiNya? Bagi mereka yang jujur terhadapNya, sudah pasti setelah diberi seorang rasul ataupun setelah sampai ajaran para Rasul, bahawa Tuhan mereka ialah Allah, bukan duniawi, mereka segera menyahut panggilan itu dengan kembali kepada Allah s.w.t., bahkan, sanggup mengorbankan duniawi demi Ilahi.

Inilah yang berlaku kepada para sahabat dan para solihin, di mana, setelah mereka diajarkan agama, dan diajarkan tentang siapa Tuhan yang sebenarnya, dan siapa diri yang sebenarnya, maka mereka terus mengadapkan diri kepada Allah s.w.t. bahkan, sanggup mengorbankan keinginan syahwat nafsu demi Ilahi.

Adapun mereka yang pendusta dan pengkhianat, maka setelah diberitahu bahawa mereka adalah hamba Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. ialah Tuhan mereka sekalipun, mereka tetap terus menjadikan duniawi sebagai kecintaan dalam diri mereka, sehingga mengabaikan Allah s.w.t. dan hak-hakNya. Inilah satu pengkhianatan yang paling besar yang mana, akan mengundang malapetaka yang paling parah (na'uzubillah min zalik).

Ramai daripada mereka yang terhijab daripada musyahadah Allah s.w.t. dengan hijab makhluk, tidak terhijab dengan makhluk melainkan kerana terpedaya dengan kecantikan palsu makhluk, sehingga melupakan kecantikan abadi Al-Khaliq.

Keindahan duniawi ini bisa memukau sesiapa sahaja yang terpandang akan senyumannya, lantas, terpamit rasa di dalam hati, untuk mengharapkan keduniaan, lebih daripada mengharapkan Tuhan. Harapan mereka, keinginan mereka, hala tuju mereka, bahkan matlamat mereka adalah dunia dan kebendaan. Jadilah mereka sebagai hamba-hamba kepada kebendaan seperti sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Celakalah ke atas hamba Dinar. Celakalah ke atas hamba Dirham...".

Dalam lirik ini menceritakan tentang perihal seorang hamba yang terpegun dengan keindahan duniawi, lalu terbit rasa dalam diri untuk mengejar keduniaan demi memenuhi tuntutan syahwat.

Seterusnya luah si hamba itu:

Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan

Lirik ini menceritakan bahawa, si hamba tersebut mula tertawan dengan keduniaan, bahkan mula hanyut dalam kealpaan cinta duniawi yang mempersonakan. Dia seolah-olah tidak sedar yang mana realiti, dan yang mana mimpi. Keduniaan yang dikejarnya, seolah-olah bakal kekal bersama dengannya, padahal, ia tidak ubah laksana mimpi dan khayalan.

Kata para salafus soleh: "Hidup di dunia ini, laksana mimpi. Bila seseorang mati, barulah ia terjaga".

Maksudnya, ramai orang yang terpesona dengan keindahan dunia yang walaupun padahal, mereka tidak pernah dijanjikan untuk hidup kekal di dunia, untuk membuatkan mereka terkejar-kejar dengan keduniaan sehingga melupakan tugasnya dalam kehambaan. Siang dan malam mereka, diabdikan untuk cinta duniawi, demi kenikmatan duniawi dan kerana duniawi. Segala yang dilakukannya, kiblatnya ialah dunia dan isinya. Terkadang, dia melaksanakan tuntutan agama sekalipun untuk menambat perhatian makhluk dan keduniaan, bukan untuk mendambat redha Tuhan. Kiblatnya bukan lagi kepada Tuhan, tetapi kepada kebendaan.

Golongan manusia yang terleka dengan keduniaan ini, melanggar adab kehambaan, dan mengabaikan hak-hak ketuhanan, demi meraih cinta keduniaan, padahal dunia dan segala isinya tidak pernah menagih darinya sebarang pengorbanan. Bahkan, setelah sekian lama mereka berkorban untuk keduniaan, dunia dan isinya tidak pernah mengucapkan barang sepatah penghargaan. Bahkan, bila tibanya waktu ajal perpisahan, segala dunia dan isinyalah yang bakal ditinggalkan. Mereka tidak sedar hakikat itu, walaupun mereka sedar ia bakal berlaku.

Dunia ini, makin banyak kita kumpul, makin banyak yang akan kita tinggalkan. Itulah hakikat kehidupan yang serba singkat ini.

Hanya, dengan mengingati matilah, seseorang manusia mampu kembali ke pangkuan Ilahi, dan kembali berjalan mencari redha Ilahi, daripada terus terleka dengan paslu duniawi. Kerana itulah, Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa: "Sentiasalah kamu mengingati mati!" Ingat mati akan mengingatkan kita tentang, hakikat diri sebagai hamba, hakikat kehidupan yang sementara dan hakikat Allah s.w.t. sebagai Sang Maha Pencipta.

Oleh yang demikianlah, penulis lirik menggambarkan bahawa, hamba yang terpukau dan terleka dengan dunia ini, kerana terlupa akan "singkat perjalanan", iaitu perjalanan hidup ini. Benarlah bahawasanya, hidup ini ibarat perjalanan. Seorang manusia yang hidup di dunia ini, ibarat musafir yang berjalan. Ia singgah sementara di bawah pohon untuk berteduh. Setelah dia puas berehat, dia akan bangun semula dan teruskan perjalanan. Begitulah kiasan dari Rasul Junjungan s.a.w..

Setelah itu, hamba itu berkata:

Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta.

Ini menceritakan perihal hamba tersebut, yang setelah sekian lama leka dengan duniawi, lantaran itu, dijemput oleh Allah s.w.t., dengan ilham keinsafan, agar hamba tersebut kembali ke pangkal jalan, dengan menghalakan perjalanan, kepada menuju Tuhan. Ini merupakan suatu anugerah. Inilah yang dikenali dengan hidayah. Hidayah ialah anugerah. Hidayah ialah hadiah. Hadiah dari yang Maha Pemurah.

Dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.-lah, Dia memberikan ilham agar hambaNya kembali kepadaNya, dengan menempuh jalan menujuNya. U-turn dalam perjalanan hidup, menuju semula kepadaNya, bermula dengan ilham keinsafan. Maqam perjalanan ini dipanggil sebagai: "yaqazah" atau terjaga dari tidur kelalaian. Inilah satu muqoddimah dalam kehidupan seseorang salik menuju Allah s.w.t..

Bererti, dia telahpun terjaga dari lena (kelekaan duniawi), sebelum terjaga secara paksa (iaitu mati). Inilah yang dikenali dengan suruhan; "Matilah sebelum kemu mati". Maknanya, sedarlah diri dari tidur kelalaian duniawi, secara sukarela, sebelum kamu sedar dari kelalaian duniawi ini secara terpaksa (dengan kematian). Ini kerana, sedar secara paksa, boleh memperbaiki keadaan, adapun sedar secara paksa (mati), maka sesalan sudah lagi tiada berguna, apatah lagi untuk memperbaiki apa yng telahh luput daripada tanggungjawabnya sebagai hamba.

Hanyalah dengan hidayah Allah s.w.t.-lah, seseorang akan terpanggil untuk kembali kepadaNya setelah sekian lama bergelumang dengan dosa kelalaian. Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada kita, amin...

Hidayah inilah yang disebut dalam lirik sebagai: "dibuai lembut belaian cinta". Hidaya merupakan simbol cinta Allah s.w.t. kepada seseorang hamba. Seseorang hamba yang diberi hidayah kepadanya, bererti dikasihi oleh Allah s.w.t.. Tanda Allah s.w.t. mengasihi seseorang hambaNya ialah, dengan memberi hidayah kepada hambaNya. Dari situlah, seseorang yang mensyukuri akan hidayah dan ilham keinsafan ini, akan sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat tersebut, dan sentiasa melatakkan di hati, bahawa hidayah itu dari kasih Allah s.w.t. kepadanya. Kasih sayangNya daripada kelembutanNya (al-lutf). Kerana itulah, hidayah tersebut seolah-olah "lembut belaian" cintaNya. Bahkan, cintaNya itu merupakan lembut belaian kelembutanNya. Benarlah Allah yang Maha Al-Lutf.

Seterusnya, dia berkata:

Rela aku pendamkan,
impian yang tersimpan,
enggan ku keasyikan.

Hal ini merujukkan tentang himmah (semangat) si hamba tersebut untuk berjalan menuju Ilahi s.w.t., shingga sanggup melawan ajakan nafsu yang sentiasa menyerunya ke arah keduniaan, seperti perempuan, harta dan sebagainya. Dia sanggup pendamkan, impian yang tersimpan. Pendamkan tersebut merujuk kepada, betapa susahnya untuk melawan hawa nafsu. Ini kerana, memendamkan tidak sama dengan menghilangkan. Si hamba tersebut mengaku di hadapan Ilahi, bahawa nafsunya akan sentiasa membuak-buak untuk kembali kepada duniawi, sepanjang perjalanan menuju Ilahi. Walaupun sebuak mana nafsu menyeru, si hamba tersebut berjanji di hadapan Ilahi, untuk berjuang melawan hawa nafsu yang tersimpan, demi mengutamakan apa yang dikehendaki oleh Tuhan, daripada suruhan dan larangan.

Kerana itulah, dia berkata: "rela aku pendamkan, impian yang tersimpan". Impian yang dimaksudkan dalam zauqi ialah, syahwat dan nafsu yang mengajak kepada kejahatan dan pengkhianatan. Dinamakan impian kerana, ianya seolah-olah suatu keinginan yang baik, menurut ukuran diri dan nafsu, tetapi padahal, ia merupakan ammarah bis'suk (mengajak kepada kejahatan). Nafsu ini selalu menipu manusia, kononnya mengajak kepada kebaikan, padahal di sebaliknya ada pengkhianatan kepada Tuhan.

Kerana apa si hamba tersebut sanggup melawan hawa nafsu dalam mengejar keduniaan? hal ini terjawab dengan katanya: "enggan ku keasyikan". Maksudnya, si hamba yang sudahpun mendapat hidayah keinsafan, berjanji di hadapan Tuhan, untuk tidak lagi kembali kepada kelalaian dan keasyikan dunia yang mempesona dalam penipuan. Si hamba itu berkata lagi:

Gusar keindahannya,
Merampas rasa cinta,
Pada Dia yang lebih Sempurna.

Si hamba takut untuk kembali kepada dunia dan isinya, kerana khuatir keindahan dan kecantikan duniawi, mampu menggodanya kepada cinta duniawi, seterusnya, mengkhianati cinta Ilahi. Ini kerana, perumpaan Allah s.w.t. dengan duniawi, seumpama timur dan barat. Semakin mendekati barat, semakin menjauhi timur. Jadi, sang hamba ini takut dengan pesona dunia, kerana dia ingin menjadikan cintanya hanya untukNya, yang merupakan Tuhan yang Maha Sempurna, lebih sempurna daripada dunia, yang padahal serba cacat cela.

Dia bukan sahaja lebih sempurna, bahkan Maha Sempurna, sedangkan dunia pula bukanlah kurang sempurna, tetapi Maha Cacat Cela. Cuma, ia dihiasi sebagai ujian. Sesiapa yang jujur, pasti akan kembali kepada yang Maha Sempurna. Sesiapa yang tidak jujur, yang cacat cela pun jadi buatnya.

Namun, cakap memanglah mudah, kerana tidak bertulang. Kalau bab janji menjanji, lidahlah yang nombor satu. Tapi, dapatkah seseorang itu merealisasikan janjinya, dengan anggotanya yang sarat bertulang?

Kerna itulah, hamba tersebut meluahkan:

Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba.

Sememangnya tidak mudah, untuk melakukan apa yang telah dijanjikan. Ini kerana, selagimana yang dikatakan hamba itu, selagi itulah, akan sentiasa diuji, bagi mengukur kejujurannya. Jadi, si hamba ini, dengan penuh rendah diri, mengakui, bukan mudah untuk menjadi hamba yang sejati. Kalau setakat janji, semua orang pun boleh berjanji. Tetapi, untuk merealisasikannya, amat sukar sekali. Jadi, sang hamba melafazkan santunan ayat ini, demi mengakui kelemahan diriNya di hadapan Allah s.w.t. di samping mengharapkan belas kasihan daripada Allah s.w.t., untuk membantunya di sepanjang perjalanan menujuNya. Sememangnya, sebagai seorang hamba, memanglah tidak mudah. Ini kerana, kehambaan itu berkaitan dengan khidmat. Khidmat itu tidak mudah. Kalau nak berehat-rehat, maka itulah bos namanya, bukan hamba. Namun, hamba yang sejati, akan berkhidmat dengan penuh kerehatan kerana tahu kepada siapa dia berkhidmat.

Jadi, sang hamba yang beradab, pasti akan mengakui kelemahan diri dalam melaksanakan tugas sebagai hamba, dan tidak pernah melihat dirinya sentiasa sempurna. Ini kerana, hanya Tuhan sahaja yang layak bersifat dengan kesempurnaan. Oleh yang demikian, seorang hamba yang sejati, tidak akan merasakan dirinya sempurna dalam ketaatan, bahkan sentiasa mengakui kelemahan diri dan sentiasa meminta keampunan daripada Tuhan atas kekurangan dirinya sewaktu melaksanakan tugasnya sebagai hamba. Inilah antara adab yang terkandung dalam lirik ini.

Sang nafsu sentiasa meniup semarak "rasa diri hebat", "rasa diri baik", dan sebagainya daripada sifat ujub, yang sebenarnya membawa kepada "merasakan ketuhanan diri", kerana merasakan dalam diri, ada sifat-sifat ketuhanan, iaitu Kehebatan dan Kebaikan. Jadi, dengan hasutan nafsu, seseorang hamba jesteru, merasakan sukar untuk hidup sebagai seorang hamba, dek keinginan nafsu yang berlagak seolah-olah tuhan di muka bumi ini, takkala ingin melakukan sesuka hatinya, tanpa batasan. Inilah isyarat dalam firman Allah s.w.t. yang mengatakan bahawa: "mereka menjadikan nafsu mereka sebagai tuhan mereka". Ini kerana, nafsu sentiasa merasakan diri layak untuk meninggikan diri, padalah sifat ketinggian itu adalah milik Allah s.w.t.. Kerana itulah, ada hadis menceritakan bahawa, sifat bangga diri dan tinggi diri itu milik Allah s.w.t. semata-mata, dan sesiapa yang cuba merampasnya, dengan meninggi diri juga, maka seoalah-olah sedang berperang dengan Allah s.w.t.. Maka, siapakah yang mampu menang jika berperang dengan Allah s.w.t.? Maka, luahan hamba ini seolah-olah mengadu akan kelemahan diri dan mengadu juga akan kejahatan nafsu yang sentiasa ingin merajakan diri sendiri.

Namun, sang hamba tahu, setiap adab itu, tidak boleh menyebabkan lenyapnya tanggungjawab sebagai seorang hamba. Lantaran itu, dia berkata setelah itu:

Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,

Sang hamba turut berjanji, demi mempertahankan cintanya kepada Ilahi, dia akan cuba melawan hawa nafsu dan melawan godaan duniawi yang menipu. Segala pesona maya yang kelihatan di mata, akan cuba dilawan agar nafsu tidak bisa mencintai keduniaan yang fana, kerana, dia ingin menghalakan cintanya kepada yang Maha Esa. Janjinya, untuk mencuba itu, menunjukkan dia sudah mula merealisasikan kehambaannya kepadaNya, kerana, seseorang yang berkata: "saya cuba", bererti, tidak menunjukkan sifat merasakan diri boleh melakukannya, tetapi tetap mahu melakukannya, demi sesuatu, atau untuk membuktikan sesuatu.

Jadi, apabila dia mengatakan bahawa: "dan ku cuba", bererti, wahai Allah, memanglah aku ini hambaMu yang lemah. Namun, keranaMu, akan ku hadapi ujian ini dan membuktikan kehambaanku kepadaMu dengan bantuanMu. Itulah rahsia daripada perkataan: "aku cuba", dalam zauq kesufian.

Sheikhna Yusuf Al-Hasani pernah bertanya kepada saya yang faqir ini: "Adakah kamu ini seorang hamba?" al-faqir menjawab dengan izin Allah s.w.t.: "Saya cuba, insya Allah". Sheikhna Yusuf Al-Hasani lalu berkata: "Rasa mencuba itu menunjukkan kamu sudah mula merealisasikan kehambaan itu sendiri". Wallahu a'lam...Walhamdulillah...

Seterusnya, sang hamba yang budiman tadi berkata lagi, tentang sebab mengapa dia cuba menjauhi pesona maya:

Kerna tuk upaya,
ku hadapinya,
Andai murkaNya menghukum leka.

Si hamba tersebut cuba menjauhi pesona dunia, dengan tidak mengindahkan senyuman duniawi, kerana takut akan kemurkaan Allah s.w.t. terhadapnya, takkala dengan dunia tersebut, dia leka kembali daripada mengingati Allah s.w.t. dan mencintaiNya. Dia tahu, pesona dunia ini sentiasa menipu, lantaran menarik hati hambaNya daripadaNya. Jadi, dia berusaha untuk menjauhi hatinya dari dunia, agar dapat mendekati Allah s.w.t. yang paling dicintaiNya.

Dia juga takutkan murka Allah s.w.t., kerana, bagi sang kekasih, murka yang dikasihinya adalah yang paling ditakutinya. Ini kerana, jika cinta dibalas murka, bererti tiadalah nilai cintanya, laksana cinta tak berbalas, apatah lagi cinta berbalas murka. Jadi, kerana si hamba tersebut mencintai Allah s.w.t, Dia cuba membuktikan cintanya dengan izinNya, dengan menjauhi kepalsuan duniawi, untuk meraih cintaNya, dan agar dihindari dari murkaNya. Bahkan, hamba yang sejati, jika mencintai Tuhannya, maka cintaNya lebih diharapkan daripada nikmat syurga. Begitu juga, murkaNya lebih ditakuti dari azabNya. Lihatlah cinta sesama manusia. Seseorang yang tahu, orang yang dikasihinya, tidak pernah mengasihinya, hatta takkala orng yang dikasihinya tersebut menghadiahkan segunung emas sebagai hadiah sekalipun, tiada nilai di sisinya, kerana dia tahu, yang memberi hadiah tersebut, memberi hadiah tanpa cinta di hatinya. Seseorang yang mencintai seseorang pula, jika yang dicintai (kekasihnya) pun mencintainya, maka hatta dimarahi dan dicubit oleh yang dicintainya pun, tidak terasa akan sakitnya, kerana sudah mendapat cintanya. Nah, cinta Ilahi lebih tinggi nilainya dari contoh yang diberikan, tetapi tak ramai yang mampu mengecapinya, dan semoga Allah s.w.t. memberi kita nikmat cintaNya, amin...

Kerana itulah, dalam lirik tersebut, menggunakan istilah: "andai murkaNya menghukum leka", bukan azabNya menghukum leka. Ini kerana, seseorang hamba yang tulus dalam mencintai Tuhannya, yang paling ditakutinya bukanlah azab neraka, tetapi murkaNya. Di sinilah tersematnya rahsia doa Saidatina Rabiatul Adawiyah yang masyhur tersebut. Hanya yang merasainya sahaja yang memahaminya, kerana cinta itu bukan di atas lampiran nota, atau bahasa bicara, tetapi cinta itu apa yang dirasa. Dan, hanya yang merasainya sahaja yang mengerti tentangnya.

Maka, si hamba tersebut lantas berkata:

Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
ku nafikan yang fana,

Dalam lirik ini, ada beberapa makna yang tersembunyi. Antaranya ialah, matlamatnya dalam usaha untuk meninggalkan cinta duniawi, hanyalah semata-mata kerana cinta, cinta kepada yang Selayaknya, iaitulah, Allah yang Maha Pencinta. Perkataan: "yang Selayaknya" merujuk kepada Allah s.w.t.. Adapun maksud: "Selayaknya" tersebut, ada dua makna yang perlu di halusi.

Jika yang dimaksudkan oleh penulis lirik, bahawa, hamba tersebut merasakan bahawa, hanyalah yang layak memiliki cintanya ialah Allah s.w.t., bererti, dia merasakan bahawa, Allah s.w.t.-lah yang layak dicintaiNya. Sememangnya benar, jika dilihat dari sudut kelayakan, Allah s.w.t. Maha Layak dalam Kesempurnaan. Begitu juga, segala pujian selayaknya hanya untuk Allah s.w.t.. Begitu juga, segala cinta, hanya selayaknya bagi Allah s.w.t. Ini merupakan suatu sudut RUBUBIYYAH, di mana Allah s.w.t. layak dengan segala kebaikan, keindahan dan kesempurnaan.

Namun, dari sudut kehambaan pula, seseorang yang memahami hakikat diri yang serba hina, dan memahami pula hakikat Allah s.w.t. yang Maha Mulia, sudah tentu merasakan bahawa, dirinya tidak layak untuk mencintaiNya kerana keagunganNya, sedangkan dia yang serba hina ini, manalah layak untuk mencintaiNya yang Maha Mulia. Seperti contoh juga, seorang anak khadam, tidak layak untuk mencintai sang puteri raja, dari kaca mata khadam itu sendiri. Inilah adab dalam cinta itu sendiri.

Seseorang hamba yang tahu hakikat kehinaan diri, pasti merasakan diri ini tidak layak untuk mencintai Allah s.w.t., bahkan tidak layak pula untuk dicintaiNya. Namun, setelah Allah s.w.t. memperkenalkan diriNya, bahawa Dialah yang Maha Pencinta, maka fahamlah hamba yang hina tersebut, bahawa, Allah s.w.t. mencintai kita, bukan kerana kita layak untuk dicintaiNya, tetapi kerana DIALAH yang MAHA PENCINTA. Dia Mencintai sesiapa sahaja kerana kelayakanNya untuk mencintai sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Laksana, sang raja masuk minang siapa sahaja yang dicintainya dari kalangan rakyatnya, adapun rakyat kebanyakan, dari sudut adatnya, tidak layak untuk meminang puteri raja, sedangkan Allah s.w.t. Maha Agung daripada perbandingan tersebut.

Oleh yang demikian, seseorang hamba yang mencintai Allah s.w.t., akan pasti bercampur malu di hadapanNya, kerana merasa diri tidak layak untuk mencintai dan dicintaiNya. Namun, atas dasar, tiada siapa lagi yang layak dicintainya melainkan Allah s.w.t., maka dia menghalakan cintanya kepadaNya kerana hanya Allah s.w.t.-lah yang layak dicintai. Jika seseorang mencintai selain daripada Allah s.w.t., bererti, menurutnya, ada selain Allah s.w.t. yang layak dicintainya, dan ini suatu perkara biadab terhadap Allah s.w.t.. Jadi, seseorang hamba perlu menghalakan cintanya hanya kepada Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t.-lah yang selayaknya untuk dicintai, kerana Dialah yang menciptakannya dan memberi nikmat kepadanya, dan hanya Allah s.w.t.-lah yang diperlukan olehnya (hamba tersebut). Lebih tinggi lagi, seseorang itu perlu mencintai Allah s.w.t. untuk menghargai cinta Allah s.w.t. kepadanya dan mensyukuriNya.

Setelah itu, hamba tersebut berkata:

Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya RedhaNya.

Setelah merintih, dengan penuh adab, hamba tersebut berdoa agar Allah s.w.t. menerima setiap pengorbanannya dalam merealisasikan ketaatannya sebagai seorang hamba, jesteru meredhai segala pengorbanannya, yang dilakukannya, atas nama cinta kepadaNya. Sememangnya, pengorbanan seseorang hamba tidak layak untuk meraih redha Allah s.w.t. yang Maha Tinggi, namun kerana sifat Pemurah Allah s.w.t.-lah, Allah s.w.t. meredhai para hambaNya yang berkorban atas nama cinta kepadaNya. Demikianlah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Seseorang tidak akan masuk syurga kerana amalannya." Sahabat bertanya: "Walaupun engkau ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya. Termasuklah saya. Cuma, (saya dapat masuk syurga) kerana rahmat dan kemurahan Allah s.w.t.."

Nah, kalaulah amal seseorang tidak dapat membayar harga syurga Allah s.w.t., mana mungkin mampu membayar harga redha Allah s.w.t. yang jauh lebih mahal berbanding syurgaNya. Jadi, para arif billah yang memahami hakikat ini, sentiasa memohon redha Allah s.w.t. dengan sifat kemurahanNya, bukan dengan harga usaha mereka. Cuma, maqam yang sederhana, seseorang hamba akan meminta agar Allah s.w.t. menerima amalannya kepadaNya, dan meredhaiNya daripada amalan tersebut. Sesungguhnya, Allah s.w.t. Maha Mengasihi para hambaNya, bukan kerana amalan mereka (yang pada hakikatnya adalah juga daripada Allah s.w.t.) tetapi kerana cintaNya yang tulus semata-mata, kepada hambaNya. Inilah nilai cinta Ilahi yang gagal difahami oleh para hambaNya.

Seterusnya, sang hamba yang berdoa tersebut sekali lagi merintih untuk mendapat simpati:

Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,

Lirik ini mengandungi zauq kesufian yang tinggi. Ini kerana, setelah mengetahui hakikat kepalsuan duniawi, dan hakikat keabadian dan keagungan cinta Ilahi, maka sang hamba tersebut sanggup membuat pilihan, sekiranya Allah s.w.t. berfirman kepadanya:

"Aku beri kepadamu dua pilihan. Satu sahaja yang boleh kamu pilih. Aku atau dunia. Kalau kau pilih Aku, kau akan kehilangan dunia dan kenikmatannya. Kalau kau pilih dunia dan kenikmatannya, maka kau akan kehilanganKu."

Maka, lirik ini menunjukkan jawapan sang hamba yang jujur terhadap Tuhannya, takkala diminta supaya membuat pilihan, satu sahaj daripada dua pilihan yang ada. Maka, jawab hamba tersebut: Biar sendiri hingga hujung nyawa, Asal tak sepi dari kasihNya" Maknanya, tak mengapalah kalau seluruh isi dunia lari dariku, kerana aku mempertahankan kasihMu, asalkan aku sentiasa dalam kasihMu, sudah cukup buatku untuk mengisi kesepian daripada makhluk". Inilah maqam kejujuran terhadap Allah s.w.t., yang mana, setiap orang perlu bertanyakan pada diri mereka sendiri, adakah aku mampu menjawab: "Allah", jika diberi pilihan sebegini. Fafham (maka fahamilah).

Benarlah kata Al-Imam Sidi Ibn Atoillah As-Sakandari r.a. yang pernah menyebut: "Apalah yang hilang daripada orang yang telah menemuiMu. Dan, apa pula yang dijumpai oleh orang yang kehilanganMu?" Dalam munajat beliau ini, ada makna yang kita bincangkan sebelum ini, dan makna yang lain yang tersembunyi melainkan kepada ahli zauqi (Allahumma ij'alna minhum).

Sang hamba tersebut yang merasai makna ini lalu berkata:

Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa.

Di dalam lirik ini, mengandungi hakikat terbesar bagi kewujudan alam ini. Namun, bukanlah di sini tempat perbahasannya. Ini kerana para ahlul khawas membincangkan tentang makna zauq sufi daripada lirik ini secara khusus, bukan pada umum, menurut para sufi. Cuma, dari segi yang mudah difahami, hakikat cinta yang wujud dalam dunia ini, semuanya daripada Allah s.w.t., dan hanya Dialah yang layak dicintai dengan cinta yang diberikan. Cinta daripadaNya kepadaNya, denganNya, untukNya dan keranaNya. Oleh yang demikian, para arif billah pernah berkata: "Alam ini wujud atas nama cinta", sesuai dengan tajuk lagu ini. Namun, alam ini wujud atas nama cinta Ilahi kepada makhluk ini sendiri. Bahkan, makhluk yang paling dicintaiNya ialah: Muhammad Rasulullah s.a.w.. Di sinilah tersimpan makna nur muhammadi yang sentiasa diperkatakan oleh golongan sufi.

Sheikhna Yusuf Al-Hasani sering meningatkan bahawa: "percayalah bahawa Allah s.w.t. mencintai kamu. Kalau Dia tidak mencintaimu, nescaya Dia tidak akan menciptakanmu". Maknanya, kewujudan makhluk yang wujud atas nama cintaNya kepada makhlukNya.

Bahkan, para arif Billah yang merasai tauhid al-mahabbah, amat memahami makna "hakikat cinta: hanya Dia yang Esa", dengan makna yang lebih mendalam. Dalam lirik ini, tidak mengatakan: "hakikat cinta: hanya kepadaNya yang Esa", atau "hakikat cinta: hanya cintaNya". Tetapi, dalam lirik menyebut: "hakikat cinta" DIA YANG ESA" Di sini bermaksud: "ALLAH ialah HAKIKAT CINTA". Hal ini difahami oleh ahlu zauq dan semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin.

Setelah itu, hamba tersebut menutup dengan satu doa atau satu nasihat:

Saratkan hati ini,
dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai,
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya

Dalam lirik terakhir ini, digunakan perkataan: "saratkan..." yang membawa makna suruhan (amr). Namun, dapat difahami daripada lirik ini dengan dua makna. Samada ia merupakan suatu doa (yang menggunakan ayat suruhan, tetapi bermakna doa) ataupun suatu saranan kepada diri sendiri dan kepada orang lain yang membaca lirik ini.

Kalau saranan bererti, si penulis lirik menasihatkan dirinya dan para pembaca, agar meletakkan hanya Allah s.w.t. di dalam hati mereka.

Namun, jika makna doa, (yang merupakan makna yang lebih tepat menurut siyaq/petunjuk ayat) bererti, dia memohon kepada Allah s.w.t., agar memenuhi hatinya dengan cinta hakiki, iaitu cinta kepadaNya semata-mata. Maksud perkataan cinta hakiki boleh difahami dengan dua makna, berlainan maqam. Samada, memahami "cinta hakiki" sebagai cinta kepada Ilahi s.w.t, ini meurpakan maqam permulaan dan pertengahan bagi para pencinta Ilahi. Ataupun, memahami makna cinta hakiki dengan makna "ALLAH" bererti, dia berdoa kepada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. memenuhkan hatinya denganNya. Terdapat perbezaan yang amat halus antara hati yang sarat dengan cinta Ilahi dan hati yang sarat dengan Allah itu sendiri, dan hanya yang merasainya, akan memahaminya (semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin).

Ini kerana, dengan cinta hakiki tersebutlah, seseorang hamba dapat merasai nikmatNya, SyurgaNya dan RedhaNya yang merupakan keinginan dan kelazatan yang paling tinggi. Semoga Allah s.w.t. mengajarkan kita erti cinta hakiki, agar kita mampu mencintaiNya dengan cinta hakiki di samping menjadikanNya sebagai cinta hakiki kita, dengan bantuan dan cintaNya, amin..

Wallahu a'lam...

oleh
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
R.A. Mukhlis