Sembang234

Showing posts with label Tarkirah Dan Tauladan. Show all posts
Showing posts with label Tarkirah Dan Tauladan. Show all posts

KELAHIRAN BAYI ANUGERAH ALLAH & AMANAH

|
Kelahiran anak di dalam sebuah keluarga memang menceriakan dan mengembirakan. Sejajar dengan fitrah manusia yang memiliki kasih sayang dan ingin disayangi, anak-anak adalah pembawa kegembiraan. Namun pada hari ini ramai manusia hanya menumpukan kepada kesejahteraan rumah tangga dan kejayaan anak-anak yang bersifat duniawi. Hidup yang sementara memerlukan perancangan jangka panjang dunia dan akhirat. Kerjaya, keluarga dan anak-anak perlu mempunyai rancangan yang lebih jauh sehingga menjangkau dunia dan akhirat. Anak-anak perlu dibangunkan bukan sekadar fizikalnya, mindanya malah akidahnya. Jika pembangunan anak-anak diintegrasikan di dalam sistem gerakan berjamaah, ianya lebih menarik, memudahkan dan meberangsangkan.

IKRAMkids, IKRAMteens, IKRAMyouth adalah diantara medan terbuka yang anak-anak boleh menceburinya bila besar nanti.
Namun, bagi yang baru merancang untuk menimang cahaya mata atau baru menimang cahaya mata, berikut adalah sedikit panduan:-
Menyambut Kelahiran Bayi

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.
Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.
Aktiviti :
1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.
Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa' dan surah Al-Hasyr.
Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :
Maksudnya : "Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.
Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi' r.a. Rasulullah bersabda :
Maksudnya : "Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a." Riwayat Abu Daud dan Tirmizi

3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.
Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :
Maksudnya : "Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya".
5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.
Memberikan nama yang baik.
Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : "Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu". Riwayat Abu Daud
Membaca Doa ketika memberikan nama anak.
Maksudnya : "Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin diwaktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu'akad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : "Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya". Riwayat abu Daud
Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.
Maksudnya : "Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ......(sebut nama anak)....
Gesaan Aqiqah :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : "Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu".
Muttafaqun A'laih

Antara hikmah aqiqah adalah :
- Membiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.
- Melindungi diri dari gangguan syaitan.
- Bercukur rambut.

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :
- Hikmah kesihatan.
- Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.
-Hikmah kemasyarakatan.
Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata:
Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak". Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

Khurafat yang perlu ditinggalkan.
- Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
- Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :
Maksudnya : "Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka".

Mengkhatankan anak.

Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan:
Maksudnya : "Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita". Riwayat Abu Daud
Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.
Antara faedah berkhatan adalah :
- Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit. Membersihkan diri dari kekotoran.

6. Menyusukan Anak.

Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.
Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:
Maksudnya : "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu".
Imam As-Syafie berkata
"Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan".
Kelebihan menyusukan anak :
- Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.
Bila ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah.

7. Memelihara dan Mentarbiyah anak-anak

Mentarbiyah keluarga dan anak-anak menjadi sangat sukar bagi mereka yang tidk berada di dalam manhaj dakwah dan tarbiyah. Tetapi suatu yang mudah bagi mereka yang berada di dalam gerakan Ialam yang istiqamah dan berencana walaupun sesekali terpaksa berhadapan dnegan tekanan persekitaran yang kompleks.

Mendidik dan mentarbiyah keluarga adalah suatu kewajipan syar'ai dan lebih-lebih lagi pada persekitaran hari ini. Tanggungkawab dan usaha-usaha tarbiyah seharus bermula semenjak anak di dalam kandungan lagi dan berterusan sehingga dewasa. Di dalam al-Quran Allah memerintahkan ketua keluarga agar memelihara dirinya dan juga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari api neraka. Allah berfirman;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…”. (at-Tahrim: 6)

Dalam menghuraikan maksud memelihara keluarga dari api neraka, Saidina Ali berkata; yakni “kamu didiklah mereka serta ajarlah mereka”. Berkata Imam Qatadah; ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

Kelahiran anak-anak yang soleh tidak mungkin terhasil jika tidak bersumber manhaj Islam - iaitu AL-Qur'an dan Sunnah. Manhaj Islam perlu digali dan dijadikan asas didalam kehidupan berkeluarga. Suburkan persekitaran keluarga dengan kesuburan iman dan hindarkan jauh-jauh segala unsur-unsur yang melalaikan, sia-sia serta merosakkan iman dan amal. Bersyukurlah anak-anak yang ibu bapanya begitu perihatin dan tahu apakah yag baik untuk dibawa masuk kerumahnya.


Rujukan & adaptasi dari:

Ciri-ciri Keluarga Dinamik dan Bahagia

|

Untuk membentuk sebuah keluarga dinamik dan bahagia, ia merangkumi perkara berikut :

1. Komunikasi Suami Isteri

Komunikasi yang baik dalam keluarga boleh meningkatkan keseronokan, mengeratkan hubungan dan seterusnya membuatkan setiap ahli dalam keluarga merasakan ia dihargai dan dipunyai keluarga tersebut.

komunikasi yang sihat ialah komunikasi dua hala. Contohnya, isteri akan berasa seronok apabila apa yang diceritakan didengari oleh suaminya serta memberi tindak balas kepada apa yang dibincangkan. pasangan suami isteri harus bertoleransi antara satu sama lain.

Perkara-perkara yang perlu dielakkan bagi suami isteri agar keharmonian rumah tangga berterusan dan terpelihara :

a. Elakkan melakukan kritikan kepada pasangan.
b. Jangan menghina pasangan dan keluarga.
c. Gunakan perkataan yang sesuai dan munasabah apabila berkomunikasi.
d. Elakkan dari bertindak mempertahankan diri dan keluarga.
e. Jangan sentiasa mendiamkan diri.


2. Membudayakan tolong-menolong dan bantu-membantu

Umpamanya suami berkewajipan mencari nafkah atau membuat kerja2 yang memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri melakukan kerja2 yang agak ringan dan sesuai dengan kemampuan wanita.

Gotong-royong seperti membersihkan rumah patut diadakan di antara ahli keluarga sekurang2nya seminggu sekali. pengagihan dan pembahagian tugas mesti dilakukan. Contohnya pada hari minggu, isteri memasak di dapur, manakala suami pula boleh membasuh atau menjemur pakaian.

3. Sentiasa menjaga hati pasangan dan keluarga

Dalam mengharungi kehidupan rumah tangga, setiap individu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada apabila hendak menuturkan sesuatu. Jangan disebabkan kerana mulut badan binasa. Pilih dan nilailah ungkapan dan perkataan sebelum dituturkan. Elakkan dari melukai hati dan perasaan pasangan walau dengan apa cara sekalipun. Janganlah membuat perbandingan antara suami atau isteri dengan lelaki atau wanita lain.
Ingatlah pasangan kita adalah yang terbaik dan tercantik yang kita miliki.

4. Berfikiran terbuka dan bersedia menerima teguran dari kedua-dua belah pihak terutamanya mertua

Setiap rumah tangga yang dibina tidak sunyi daripada salah dan silap. Setiap pasangan hendaklah bersedia menerima dan memberi teguran. Tidak ada istilah 'QC' (Queen Control). Kehidupan rumah tangga sentiasa dihadapi bersama, berbincang dan selalu berunding. Kita hendaklah memahami bahawa tidak ada rumah tangga yang tidak mempunyai masalah.

Hadapi masalah bersama. Sekiranya ia adalah perkara kecil dan remeh temeh, janganlah diperbesarkan. Jika terdapat sedikit salah faham, sentiasalah bersedia memaafkan dan elakkan menanam perasaan marah dan dendam.

KESIMPULAN

Pengekalan keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kefahaman, kerjasama dan pengorbanan semua pihak terutamanya suami isteri. Siramilah rumah tangga dengan wangian kasturi. Berusaha bersungguh2 untuk menjaga kelangsungan rumah tangga. Tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Tidak ada rumah tangga yang tidak menghadapi masalah. Atasi masalah tersebut secara profesional dan matang. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan rumah tangga dinamik dan bahagia sebagai syurga yang mengalir sungai di bawahnya.

Persepsi Diri: Sikap Menunding Jari

|

Bangau oh bangau,
Kenapa engkau kurus,
Macam mana aku x kurus,
Ikan tak nak timbul,

Ikan oh ikan,
Kenapa tak nak timbul,
Macam mana aku nak timbul,
Rumput panjang sangat,

Dan seterusnya...


Teringat zaman sekolah rendah dulu, lagu ini lah yang selalu dinyanyikan tanpa memahami makna sebenar yang hendak di ketengahkan mesejnya. Sesekali difikirkan mungkin tak membawa mesej apa-apa pun, tetapi pernahkah sahaba terfikir bahawa mesej sebenar yang hendak di bawa ialah janganlah kita suka menuding jari kepada orang lain, kerana sifat menuding jari kepada orang lain ini tak akan mendatangkan manfaat buat diri kita mahupun orang lain. Apa yang kita akan peroleh jika kita hanya mampu menuding jari terhadap orang lain? Adakah sesuatu akan kita peroleh darinya? Pasti jawapannya ialah tiada apa-apa pun yang akan kita peroleh, ramai yang pasti bersetuju.

Sikap ini sebenarnya mencerminkan diri kita sendiri, kita umpama menuding jari kepada diri sendiri. Pernahkah sahabat berfikir apakah tindakan kita? Dengan hanya menunding kepada sesuatu permasalahan, masalah tidak akan selesai jika tiada tindakan dari kita, dengan menyalahkan seseorang, masalah juga tidak akan selesai. Yang pentingnya ialah tindakan kita, itu yang pasti.


Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw. Bersabda:


"Jika ada seseorang berkata: Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka"


Daripada hadis diatas Imam Nawawi menerangkan bahawa ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Shalihin beliau memberikan penjelasan seperti berikut:

Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasakan dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram.

Ada pun orang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya.

Daripada hadis ini serta penerangan hadis tadi, jelas menunjukkan kepada kita bahawa, kita tidak digalakkan bersikap suka menyalahkan orang lain tambahan lagi dengan adanya rasa bangga pada diri kita sendiri. Mungkin ada dikalangan kita yang berasa bangga apabila menuding kepada pekara-perkara yang tidak pernah kita lakukan. Maka mari kita sama-sama muhasabah diri kita sendiri, dia atau kita sebenarnya bermasalah. Mungkin dia bermasalah dari segi luaran sahaja tetapi kita bermasalah dari segi dalaman. Siapa yang lebih besar masalahnya?

Oleh kerana itu apabila kita cuba mengaitkan hadis tersebut dengan realiti umat Islam dewasa ini, maka janganlah kita merasa bangga dan ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menunding orang lain. walaupun hal kerosakan moral umat islam dewasa ini yang diketengahkan, biarlah pendedahan itu di dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.

Wallahu 'alam

SUAMI SOLEH

|

Hak-Hak Isteri Dari Suaminya

  • Suami yang taat dalam melaksanakan perintah serta suruhan Allah dan Rasulnya dan dapat pula membimbing isterinya.
  • Suami yang mampu memberikan nafkah sama ada zahir ataupun batin.
  • Suami yang sedia memberikan nasihat, bimbingan, dorongan, didikan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawap rumahtangga dan juga terhadap Allah s.w.t
  • Suami yang bijak dalam menyelesaikan permasalahan isteri yang timbul bersama jiran tetangga atau sebagainya.
  • Suami yang dapat memberikan pemerhatian dalam hal keselamatan, kebajikan dan kesihatannya.
  • Suami yang dapat menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan yang sempurna mengikut kemampuanya.
  • Suami yang penyabar dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapatkan sesuatu.
  • Suami yang tidak cemburu buta tanpa asas terhadap isterinya yang mana boleh merosakkan keutuhan rumah tangga mereka.
  • Suami yang sentiasa memberikan kasih sayang, belas kasihan dan pergaulan yang baik terhadap isterinya.
  • Suami yang sentiasa menjaga rahsia isterinya dan tidak di dedahkan kepada orang lain.
  • Suami yang ikhlas dan jujur serta dapat menepati janji terhadap isteri dan anak-anak.
  • Suami yang menjauhkan diri dari perbuatan maksiat seperti meminum minuman keras, berjudi, berzina, menipu, mencuri dan sebagainya.
  • Suami yang dapat memberikan penjagaan dan pemerhatian yang baik terhadap isterinya penjagaan ini meliputi semua hal termasuk kehormatannya.
  • Suami mestilah bijak memahami perasaan dan hati isteri sama ada dengan perbuatan atau perkataan, jangan biarkan dirinya dalam keadaan sedih.
  • Suami yang sentiasa mengutamakan kebersihan diri, zahir dan batin.
  • Suami mestilah menahan dirinya dari bergaul secara bebas dengan wanita lain.
  • Suami yang dapat menyelidik secara cermat dan teliti segala hal yang disampaikan oleh orang lain yang berkaitan dengan isterinya.
  • Suami yang bijak dalam memimpin tumah tangganya dengan penuh amanah serta bertanggungjawab.

Ulamak Akhirat VS Ulamak Dunia

|
Bismillahirrahmanirahim..
Ulamak dan Ilmu adalah satu gabungan yang tidak dipisahkan kerana tidaklah dipanggil ulamak jika tiada ilmu. Ulamak mempunyai peranan yang penting dalam memperkasa dan memperjuangkan ilmu Allah yang dimilikinya sama secara rahsia atau terang-terangan. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu nescaya dia akan takut pada tuhannya yakni Allah. Ulama juga merupakan warisan daripada Nabi SAW dalam menyampaikan agama Allah.

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ
"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya hanyalah Ulama."
surah fatir : 28

العلماء ورثة الأبياء
"ulamak-ulamak itu pewaris para nabi-nabi"

Ulamak mempunyai prinsip-prinsip yang penting, di mana prinsip-prinsip ini wajib ada dalam dirinya. Di antaranya :

1) Menyampaikan risalah Islam :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ‌ۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ ۥ‌ۚ
وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ‌ۗ
"wahai Rasul! sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika engkau tidak melakukan ( apa yang diperintahkan itu ) bererti engkau tidak menyampaikan amanatNya.Dan Allah memelihara engkau dari ( gangguan ) manusia" surah al-maidah : 68

2) Menjelaskan :


وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلذِّڪۡرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ
"dan kami turunkan Az-Zikr ( Al-Quran ) kepadamu, agar engkau menerangkan kepada manusia" surah an-nahl : 44

3) Memutuskan permasalahan :

فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ
ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً (٥٩
"jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya" surah an-nisa' : 59

4) Contoh atau tauladan :

Dua golongan manusia, apabila dia baik keseluruhan maka manusia menjadi baiklah keseluruhannya, tetapi apabila kedua-dua golongan ini tidak baik maka keseluruhan manusia turut menjadi tidak baik. Golongan itu ialah pemimpin dan ulamak.

sabda nabi SAW :

افت الدين ثلاثة فقيه فاجر وإمام جائر ومجتهد جاهل
"rosak agama kerana tiga sebab: ulamak yang jahat, pemimpin yang zalim, mujtahid yang jahil"

Di mana Imam Al-Ghazali R.A telah menyatakan dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, bahawasanya ulamak ini ada dua golongan :

1) ULAMAK AKHIRAT :
ulamak akhirat mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang berbeza dengan ulamak yang lain :

a) Mewarisi ilmu Nabi SAW
b) Mewarisi akhlak Nabi SAW

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ۬ (٤
"dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur"
surah al-qalam : 4


ِِApa yang hendak dimaksudkan dengan akhlak nabi adalah keberanian dalam menyampaikan risalah Allah. Berani berdepan dengan musuh pabila menyeru dan mnyampaikannya. Berani menyampaikan yang benar walaupun perit baginda merasanya.

Sebagaimana Dr. Hamka dalam tafsirnya. akhlak itu bermaksud berani.

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَـٰلَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُ ۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبً۬ا (٣٩
"(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka)." surah al-ahzab : 39


فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٩٤
"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu." surah al hijr : 94

c) Mewarisi perjuangan Nabi SAW

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ (٤١
" Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." surah al-hajj : 41

berkata Imam Al-Ghazali tentang ulamak akhirat:

a)mereka seperti lilin yang terbakar (sanggup bersusah payah untuk selamat orang lain)
b)kehidupan yang zuhud (dunia di tangan akhirat di hati)
c)Amal (mengamalkan ilmu sebelum menyuruh orang lain mengamalkannya)

2) ULAMAK DUNIA :

Nabi Muhammad SAW telah memperupamakan ulamak dunia ini seperti dajjal bahkan lebih teruk dari dajjal. Kerana mereka ini telah melakukan kesilapan yang begitu besar di antaranya ialah :

a) Menyembunyikan kebenaran

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ‌ۙ
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَلۡعَنُہُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُہُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ (١٥٩
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk."
surah al-baqarah 159

b) Menyelewengkan Nas-nas Al-Quran

فَوَيۡلٌ۬ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِأَيۡدِيہِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَـٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬‌ۖ فَ
وَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا ڪَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ (٧٩
"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu." surah al-baqarah : 79

c) Kasihkan harta dan pangkat

وَءَامِنُواْ بِمَآ أَنزَلۡتُ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا مَعَكُمۡ وَلَا تَكُونُوٓاْ أَوَّلَ كَافِرِۭ بِهِۦ‌ۖ
وَلَا تَشۡتَرُواْ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬ وَإِيَّـٰىَ فَٱتَّقُونِ (٤١)
وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٤٢
"Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertakwa (42) Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." surah al-baqarah : 41 & 42

وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ ٱلۡڪَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُڪۡهُ يَلۡهَث‌ۚ ذَّٲلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا‌ۚ
فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ (١٧٦
"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir." surah al-'araf : 176

d) Mendiamkan diri (bila berlaku kemungkaran)
e) Hasad dengki (tidak mahu Islam berkembang)
f) Suka menonjolkan diri (bincang tentang perkara-perkara yang bukan-bukan)
g) Bangga diri

Dengan sedikit ilmu ini dapatlah kita aturkan diri kita. Buatlah acuan diri yang sebetulnya semoga kita tidak tegolong dengan orang-orang yang dimurkai Allah. Tepuk dada tanya iman.
Wallahu 'alam

Sebalik Atas Nama Cinta

|
Atas Nama Cinta (UNIC)

Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.

Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta.

Rela aku pendamkan,
Impian yang tersimpan,
Enggan ku keasyikan,
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta,
Pada Dia yang lebih sempurna.

Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba,
Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murkaNya menghukum leka,

Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
Ku nafikan yang fana,
Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya redhaNya,
(Agar disuluh redhaNya).

Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,
Kerna sesungguhnya haikikat cinta,
Dia yang Esa.
Saratkan hati ini,
Dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya

Lirik: Atie (Hijjaz Record Sdn Bhd)



Kata penulis lirik pembuka bicara:

Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.

Al-Faqir yang serba jahil ini menambah dengan izin Allah s.w.t.:-

Perkataan "tika mata" merujuk kepada, sejak daripada mata seseorang manusia melihat akan dunia ini. Oleh yang demikian, maksud zauqi (perasaan sufiyah) dalam perkataan "diuji manisnya senyuman" merujuk kepada segala bentuk keduniaan.

Dunia dan keindahan serta kelazatannya seolah-olah suatu "senyuman" yang menggoda hati manusia agar menghampirinya dan melupakan hakikat asal tujuan kewujudannya di dunia ini. Sejak mata boleh melihat akan keindahan dan kecantikan duniawi ini, hati sudah mula terpanggil untuk berkenalan dengan duniawi ini, di samping melupakan perjanjiannya dengan Tuhannya sewaktu di alam roh lagi, iaitu: "Alastu birobbikum, Qolu bala" (Allah s.w.t. bertanya: Adakah kamu (roh manusia) mengaku Akulah Tuhanmu). Maka, para roh menjawab: "Ya, kami mengakuinya") seperti yang dirakamkan di dalam Al-Qur'an.

Tapi, sejak mata melihat akan keduniaan, hati dan roh mula tertanya-tanya, tentang keduniaan yang dilihatnya. Hati semakin terkeliru, ketikat melihat, seolah-olah dunia dan isinya ini mampu berperanan dalam kehidupannya. Tampak dari sudut zahir, bahawasanya ada yang berkuasa dan berperanan selain dari Allah s.w.t., bagi hati yang tekeliru.

Sheikh Sa'id Hawa mengatakan: "Hijab pertama manusia dari Allah s.w.t. ialah, takkala si bayi sedang menangis mengadu kelaparan dan dahaga, lalu si ibu menyusukannya. Bisik hati si bayi itu, "oh, ada lagi yang boleh memberi rezeki dan mengenyangkan selain daripada Allah s.w.t?"

Kekeliruan inilah yang menjadi hijab pertama bagi seorang insan, dan terus-menerus membesar dengan bersandarkan kepada keduniaan, sehingga terlupa Tuhan kepada dunia dan segala isinya. Sejak kecil lagi, ketergantungannya sudah kepada makhluk, dek si roh tersanggut dalam jasad yang mana, mata menjadi peranan utama dalam memberi persepsi kepada manusia, yang akhirnya mengambil tempat "mata hati" (bashirah) dalam diri manusia.

Kerna itulah, dalam lirik tersebut ada menyebut: "tika mata", kerana dengan sebab matalah, seseorang semakin meninggalkan peranan mata hati, yang merupakan tempat bermu'amalah dengan Allah s.w.t..

Adapun mata jasad, merupakan antara pancaindera yang utama bagi jasad untuk berinteraksi dengan alam kebendaan duniawi ini, sedangkan mata hati, merupakan pancaindera yang paling utama bagi roh untuk berinteraksi dengan alam qudsiyah/ghaib dan berinteraksi dengan Allah s.w.t..

Kerana itulah, ada hadis mengatakan bahawa: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat bentuk tubuh kamu, tetapi melihat hatimu dan amalmu". Adapun dunia dan isinyalah yang melihat bentuk tubuh jasmanimu dan luaranmu. Maka, sesiapa yang mengutamakan bentuk tubuh dan jasad daripada kondisi hatinya, bererti dia telah mengutamakan pandangan dunia dan isinya kepadanya, berbanding pandangan Allah s.w.t. ke atasnya. Dari sinilah, seseorang tahu, siapakah yang diutamakannya, Allah atau isi dunia? Fafham (maka fahamilah).

Tika mata, terpegun dengan keduniaan, seperti kecantikan wanita (atau ketampanan jejaka bagi wanita), kemewahan harta, kemegahan takhta dan sebagainya, maka syahwat dan nafsu mula menyeru insan agar mengejar apa yang diingininya daripada kenikmatan-kenikmatan duniawi sehingga sampai mengabaikan kehambaan kepada Ilahi.

Kecantikan duniawi ini sebenarnya suatu ujian, bagi mata, untuk mata hati. Allah s.w.t. berfirman: "Sesungguhnya, diperhiaskan kepada manusia itu, akan cinta syahwat (keduniaan) dari kalangan perempuan-perempuan (iaitu: lawan jenis), anak pinak, harta benda..."

Allah s.w.t. sendiri menggunakan istilah: "diperhiaskan", dengan membawa maksud, perkara-perkara yang diingini dan dicintai oleh syahwat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang cantik, tetapi diperhiaskan agar kelihatan cantik di kaca mata jasmani, walhal, mata hati mengetahui akan kejelekannya.

Diperhiaskan akan duniawi ini tidak lain melainkan untuk menguji para hambaNya, siapakah yang jujur denganNya dan siapa pula yang berdusta terhadapNya, dalam perjanjian "alastu birobbikum" tersebut. Allah s.w.t. pada hakikatnya sudah mengetahui, siapakah dari kalangan roh yang menipu dalam perjanjian tersebut, dan siapa pula yang jujur. Tetapi, sengaja Allah s.w.t. meletakkan manusia ke alam duniawi terlebih dahulu, sebelum melayan para hambaNya dengan nikmat syurga, untuk menjadikan hujah ke atas manusia sendiri, supaya manusia sendiri akan membuktikan kepada dirinya sendiri, bahawa samada dia jujur dalam perjanjiannya ataupun berdusta dalam perjanjiannya terhadapNya. Jadi, dunia inilah tempat ujian.

Kerana itulah, lirik mengatakan bahawa: "tika mata, diuji manisnya senyuman...".

Keindahan dan kemanisan senyuman merupakan suatu kiasan kepada perhiasan duniawi yang dihias untuk menguji, siapakah dari kalangan para hambaNya yang jujur terhadapNya, dan siapa pula yang mendustaiNya? Bagi mereka yang jujur terhadapNya, sudah pasti setelah diberi seorang rasul ataupun setelah sampai ajaran para Rasul, bahawa Tuhan mereka ialah Allah, bukan duniawi, mereka segera menyahut panggilan itu dengan kembali kepada Allah s.w.t., bahkan, sanggup mengorbankan duniawi demi Ilahi.

Inilah yang berlaku kepada para sahabat dan para solihin, di mana, setelah mereka diajarkan agama, dan diajarkan tentang siapa Tuhan yang sebenarnya, dan siapa diri yang sebenarnya, maka mereka terus mengadapkan diri kepada Allah s.w.t. bahkan, sanggup mengorbankan keinginan syahwat nafsu demi Ilahi.

Adapun mereka yang pendusta dan pengkhianat, maka setelah diberitahu bahawa mereka adalah hamba Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. ialah Tuhan mereka sekalipun, mereka tetap terus menjadikan duniawi sebagai kecintaan dalam diri mereka, sehingga mengabaikan Allah s.w.t. dan hak-hakNya. Inilah satu pengkhianatan yang paling besar yang mana, akan mengundang malapetaka yang paling parah (na'uzubillah min zalik).

Ramai daripada mereka yang terhijab daripada musyahadah Allah s.w.t. dengan hijab makhluk, tidak terhijab dengan makhluk melainkan kerana terpedaya dengan kecantikan palsu makhluk, sehingga melupakan kecantikan abadi Al-Khaliq.

Keindahan duniawi ini bisa memukau sesiapa sahaja yang terpandang akan senyumannya, lantas, terpamit rasa di dalam hati, untuk mengharapkan keduniaan, lebih daripada mengharapkan Tuhan. Harapan mereka, keinginan mereka, hala tuju mereka, bahkan matlamat mereka adalah dunia dan kebendaan. Jadilah mereka sebagai hamba-hamba kepada kebendaan seperti sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Celakalah ke atas hamba Dinar. Celakalah ke atas hamba Dirham...".

Dalam lirik ini menceritakan tentang perihal seorang hamba yang terpegun dengan keindahan duniawi, lalu terbit rasa dalam diri untuk mengejar keduniaan demi memenuhi tuntutan syahwat.

Seterusnya luah si hamba itu:

Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan

Lirik ini menceritakan bahawa, si hamba tersebut mula tertawan dengan keduniaan, bahkan mula hanyut dalam kealpaan cinta duniawi yang mempersonakan. Dia seolah-olah tidak sedar yang mana realiti, dan yang mana mimpi. Keduniaan yang dikejarnya, seolah-olah bakal kekal bersama dengannya, padahal, ia tidak ubah laksana mimpi dan khayalan.

Kata para salafus soleh: "Hidup di dunia ini, laksana mimpi. Bila seseorang mati, barulah ia terjaga".

Maksudnya, ramai orang yang terpesona dengan keindahan dunia yang walaupun padahal, mereka tidak pernah dijanjikan untuk hidup kekal di dunia, untuk membuatkan mereka terkejar-kejar dengan keduniaan sehingga melupakan tugasnya dalam kehambaan. Siang dan malam mereka, diabdikan untuk cinta duniawi, demi kenikmatan duniawi dan kerana duniawi. Segala yang dilakukannya, kiblatnya ialah dunia dan isinya. Terkadang, dia melaksanakan tuntutan agama sekalipun untuk menambat perhatian makhluk dan keduniaan, bukan untuk mendambat redha Tuhan. Kiblatnya bukan lagi kepada Tuhan, tetapi kepada kebendaan.

Golongan manusia yang terleka dengan keduniaan ini, melanggar adab kehambaan, dan mengabaikan hak-hak ketuhanan, demi meraih cinta keduniaan, padahal dunia dan segala isinya tidak pernah menagih darinya sebarang pengorbanan. Bahkan, setelah sekian lama mereka berkorban untuk keduniaan, dunia dan isinya tidak pernah mengucapkan barang sepatah penghargaan. Bahkan, bila tibanya waktu ajal perpisahan, segala dunia dan isinyalah yang bakal ditinggalkan. Mereka tidak sedar hakikat itu, walaupun mereka sedar ia bakal berlaku.

Dunia ini, makin banyak kita kumpul, makin banyak yang akan kita tinggalkan. Itulah hakikat kehidupan yang serba singkat ini.

Hanya, dengan mengingati matilah, seseorang manusia mampu kembali ke pangkuan Ilahi, dan kembali berjalan mencari redha Ilahi, daripada terus terleka dengan paslu duniawi. Kerana itulah, Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa: "Sentiasalah kamu mengingati mati!" Ingat mati akan mengingatkan kita tentang, hakikat diri sebagai hamba, hakikat kehidupan yang sementara dan hakikat Allah s.w.t. sebagai Sang Maha Pencipta.

Oleh yang demikianlah, penulis lirik menggambarkan bahawa, hamba yang terpukau dan terleka dengan dunia ini, kerana terlupa akan "singkat perjalanan", iaitu perjalanan hidup ini. Benarlah bahawasanya, hidup ini ibarat perjalanan. Seorang manusia yang hidup di dunia ini, ibarat musafir yang berjalan. Ia singgah sementara di bawah pohon untuk berteduh. Setelah dia puas berehat, dia akan bangun semula dan teruskan perjalanan. Begitulah kiasan dari Rasul Junjungan s.a.w..

Setelah itu, hamba itu berkata:

Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta.

Ini menceritakan perihal hamba tersebut, yang setelah sekian lama leka dengan duniawi, lantaran itu, dijemput oleh Allah s.w.t., dengan ilham keinsafan, agar hamba tersebut kembali ke pangkal jalan, dengan menghalakan perjalanan, kepada menuju Tuhan. Ini merupakan suatu anugerah. Inilah yang dikenali dengan hidayah. Hidayah ialah anugerah. Hidayah ialah hadiah. Hadiah dari yang Maha Pemurah.

Dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.-lah, Dia memberikan ilham agar hambaNya kembali kepadaNya, dengan menempuh jalan menujuNya. U-turn dalam perjalanan hidup, menuju semula kepadaNya, bermula dengan ilham keinsafan. Maqam perjalanan ini dipanggil sebagai: "yaqazah" atau terjaga dari tidur kelalaian. Inilah satu muqoddimah dalam kehidupan seseorang salik menuju Allah s.w.t..

Bererti, dia telahpun terjaga dari lena (kelekaan duniawi), sebelum terjaga secara paksa (iaitu mati). Inilah yang dikenali dengan suruhan; "Matilah sebelum kemu mati". Maknanya, sedarlah diri dari tidur kelalaian duniawi, secara sukarela, sebelum kamu sedar dari kelalaian duniawi ini secara terpaksa (dengan kematian). Ini kerana, sedar secara paksa, boleh memperbaiki keadaan, adapun sedar secara paksa (mati), maka sesalan sudah lagi tiada berguna, apatah lagi untuk memperbaiki apa yng telahh luput daripada tanggungjawabnya sebagai hamba.

Hanyalah dengan hidayah Allah s.w.t.-lah, seseorang akan terpanggil untuk kembali kepadaNya setelah sekian lama bergelumang dengan dosa kelalaian. Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada kita, amin...

Hidayah inilah yang disebut dalam lirik sebagai: "dibuai lembut belaian cinta". Hidaya merupakan simbol cinta Allah s.w.t. kepada seseorang hamba. Seseorang hamba yang diberi hidayah kepadanya, bererti dikasihi oleh Allah s.w.t.. Tanda Allah s.w.t. mengasihi seseorang hambaNya ialah, dengan memberi hidayah kepada hambaNya. Dari situlah, seseorang yang mensyukuri akan hidayah dan ilham keinsafan ini, akan sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat tersebut, dan sentiasa melatakkan di hati, bahawa hidayah itu dari kasih Allah s.w.t. kepadanya. Kasih sayangNya daripada kelembutanNya (al-lutf). Kerana itulah, hidayah tersebut seolah-olah "lembut belaian" cintaNya. Bahkan, cintaNya itu merupakan lembut belaian kelembutanNya. Benarlah Allah yang Maha Al-Lutf.

Seterusnya, dia berkata:

Rela aku pendamkan,
impian yang tersimpan,
enggan ku keasyikan.

Hal ini merujukkan tentang himmah (semangat) si hamba tersebut untuk berjalan menuju Ilahi s.w.t., shingga sanggup melawan ajakan nafsu yang sentiasa menyerunya ke arah keduniaan, seperti perempuan, harta dan sebagainya. Dia sanggup pendamkan, impian yang tersimpan. Pendamkan tersebut merujuk kepada, betapa susahnya untuk melawan hawa nafsu. Ini kerana, memendamkan tidak sama dengan menghilangkan. Si hamba tersebut mengaku di hadapan Ilahi, bahawa nafsunya akan sentiasa membuak-buak untuk kembali kepada duniawi, sepanjang perjalanan menuju Ilahi. Walaupun sebuak mana nafsu menyeru, si hamba tersebut berjanji di hadapan Ilahi, untuk berjuang melawan hawa nafsu yang tersimpan, demi mengutamakan apa yang dikehendaki oleh Tuhan, daripada suruhan dan larangan.

Kerana itulah, dia berkata: "rela aku pendamkan, impian yang tersimpan". Impian yang dimaksudkan dalam zauqi ialah, syahwat dan nafsu yang mengajak kepada kejahatan dan pengkhianatan. Dinamakan impian kerana, ianya seolah-olah suatu keinginan yang baik, menurut ukuran diri dan nafsu, tetapi padahal, ia merupakan ammarah bis'suk (mengajak kepada kejahatan). Nafsu ini selalu menipu manusia, kononnya mengajak kepada kebaikan, padahal di sebaliknya ada pengkhianatan kepada Tuhan.

Kerana apa si hamba tersebut sanggup melawan hawa nafsu dalam mengejar keduniaan? hal ini terjawab dengan katanya: "enggan ku keasyikan". Maksudnya, si hamba yang sudahpun mendapat hidayah keinsafan, berjanji di hadapan Tuhan, untuk tidak lagi kembali kepada kelalaian dan keasyikan dunia yang mempesona dalam penipuan. Si hamba itu berkata lagi:

Gusar keindahannya,
Merampas rasa cinta,
Pada Dia yang lebih Sempurna.

Si hamba takut untuk kembali kepada dunia dan isinya, kerana khuatir keindahan dan kecantikan duniawi, mampu menggodanya kepada cinta duniawi, seterusnya, mengkhianati cinta Ilahi. Ini kerana, perumpaan Allah s.w.t. dengan duniawi, seumpama timur dan barat. Semakin mendekati barat, semakin menjauhi timur. Jadi, sang hamba ini takut dengan pesona dunia, kerana dia ingin menjadikan cintanya hanya untukNya, yang merupakan Tuhan yang Maha Sempurna, lebih sempurna daripada dunia, yang padahal serba cacat cela.

Dia bukan sahaja lebih sempurna, bahkan Maha Sempurna, sedangkan dunia pula bukanlah kurang sempurna, tetapi Maha Cacat Cela. Cuma, ia dihiasi sebagai ujian. Sesiapa yang jujur, pasti akan kembali kepada yang Maha Sempurna. Sesiapa yang tidak jujur, yang cacat cela pun jadi buatnya.

Namun, cakap memanglah mudah, kerana tidak bertulang. Kalau bab janji menjanji, lidahlah yang nombor satu. Tapi, dapatkah seseorang itu merealisasikan janjinya, dengan anggotanya yang sarat bertulang?

Kerna itulah, hamba tersebut meluahkan:

Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba.

Sememangnya tidak mudah, untuk melakukan apa yang telah dijanjikan. Ini kerana, selagimana yang dikatakan hamba itu, selagi itulah, akan sentiasa diuji, bagi mengukur kejujurannya. Jadi, si hamba ini, dengan penuh rendah diri, mengakui, bukan mudah untuk menjadi hamba yang sejati. Kalau setakat janji, semua orang pun boleh berjanji. Tetapi, untuk merealisasikannya, amat sukar sekali. Jadi, sang hamba melafazkan santunan ayat ini, demi mengakui kelemahan diriNya di hadapan Allah s.w.t. di samping mengharapkan belas kasihan daripada Allah s.w.t., untuk membantunya di sepanjang perjalanan menujuNya. Sememangnya, sebagai seorang hamba, memanglah tidak mudah. Ini kerana, kehambaan itu berkaitan dengan khidmat. Khidmat itu tidak mudah. Kalau nak berehat-rehat, maka itulah bos namanya, bukan hamba. Namun, hamba yang sejati, akan berkhidmat dengan penuh kerehatan kerana tahu kepada siapa dia berkhidmat.

Jadi, sang hamba yang beradab, pasti akan mengakui kelemahan diri dalam melaksanakan tugas sebagai hamba, dan tidak pernah melihat dirinya sentiasa sempurna. Ini kerana, hanya Tuhan sahaja yang layak bersifat dengan kesempurnaan. Oleh yang demikian, seorang hamba yang sejati, tidak akan merasakan dirinya sempurna dalam ketaatan, bahkan sentiasa mengakui kelemahan diri dan sentiasa meminta keampunan daripada Tuhan atas kekurangan dirinya sewaktu melaksanakan tugasnya sebagai hamba. Inilah antara adab yang terkandung dalam lirik ini.

Sang nafsu sentiasa meniup semarak "rasa diri hebat", "rasa diri baik", dan sebagainya daripada sifat ujub, yang sebenarnya membawa kepada "merasakan ketuhanan diri", kerana merasakan dalam diri, ada sifat-sifat ketuhanan, iaitu Kehebatan dan Kebaikan. Jadi, dengan hasutan nafsu, seseorang hamba jesteru, merasakan sukar untuk hidup sebagai seorang hamba, dek keinginan nafsu yang berlagak seolah-olah tuhan di muka bumi ini, takkala ingin melakukan sesuka hatinya, tanpa batasan. Inilah isyarat dalam firman Allah s.w.t. yang mengatakan bahawa: "mereka menjadikan nafsu mereka sebagai tuhan mereka". Ini kerana, nafsu sentiasa merasakan diri layak untuk meninggikan diri, padalah sifat ketinggian itu adalah milik Allah s.w.t.. Kerana itulah, ada hadis menceritakan bahawa, sifat bangga diri dan tinggi diri itu milik Allah s.w.t. semata-mata, dan sesiapa yang cuba merampasnya, dengan meninggi diri juga, maka seoalah-olah sedang berperang dengan Allah s.w.t.. Maka, siapakah yang mampu menang jika berperang dengan Allah s.w.t.? Maka, luahan hamba ini seolah-olah mengadu akan kelemahan diri dan mengadu juga akan kejahatan nafsu yang sentiasa ingin merajakan diri sendiri.

Namun, sang hamba tahu, setiap adab itu, tidak boleh menyebabkan lenyapnya tanggungjawab sebagai seorang hamba. Lantaran itu, dia berkata setelah itu:

Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,

Sang hamba turut berjanji, demi mempertahankan cintanya kepada Ilahi, dia akan cuba melawan hawa nafsu dan melawan godaan duniawi yang menipu. Segala pesona maya yang kelihatan di mata, akan cuba dilawan agar nafsu tidak bisa mencintai keduniaan yang fana, kerana, dia ingin menghalakan cintanya kepada yang Maha Esa. Janjinya, untuk mencuba itu, menunjukkan dia sudah mula merealisasikan kehambaannya kepadaNya, kerana, seseorang yang berkata: "saya cuba", bererti, tidak menunjukkan sifat merasakan diri boleh melakukannya, tetapi tetap mahu melakukannya, demi sesuatu, atau untuk membuktikan sesuatu.

Jadi, apabila dia mengatakan bahawa: "dan ku cuba", bererti, wahai Allah, memanglah aku ini hambaMu yang lemah. Namun, keranaMu, akan ku hadapi ujian ini dan membuktikan kehambaanku kepadaMu dengan bantuanMu. Itulah rahsia daripada perkataan: "aku cuba", dalam zauq kesufian.

Sheikhna Yusuf Al-Hasani pernah bertanya kepada saya yang faqir ini: "Adakah kamu ini seorang hamba?" al-faqir menjawab dengan izin Allah s.w.t.: "Saya cuba, insya Allah". Sheikhna Yusuf Al-Hasani lalu berkata: "Rasa mencuba itu menunjukkan kamu sudah mula merealisasikan kehambaan itu sendiri". Wallahu a'lam...Walhamdulillah...

Seterusnya, sang hamba yang budiman tadi berkata lagi, tentang sebab mengapa dia cuba menjauhi pesona maya:

Kerna tuk upaya,
ku hadapinya,
Andai murkaNya menghukum leka.

Si hamba tersebut cuba menjauhi pesona dunia, dengan tidak mengindahkan senyuman duniawi, kerana takut akan kemurkaan Allah s.w.t. terhadapnya, takkala dengan dunia tersebut, dia leka kembali daripada mengingati Allah s.w.t. dan mencintaiNya. Dia tahu, pesona dunia ini sentiasa menipu, lantaran menarik hati hambaNya daripadaNya. Jadi, dia berusaha untuk menjauhi hatinya dari dunia, agar dapat mendekati Allah s.w.t. yang paling dicintaiNya.

Dia juga takutkan murka Allah s.w.t., kerana, bagi sang kekasih, murka yang dikasihinya adalah yang paling ditakutinya. Ini kerana, jika cinta dibalas murka, bererti tiadalah nilai cintanya, laksana cinta tak berbalas, apatah lagi cinta berbalas murka. Jadi, kerana si hamba tersebut mencintai Allah s.w.t, Dia cuba membuktikan cintanya dengan izinNya, dengan menjauhi kepalsuan duniawi, untuk meraih cintaNya, dan agar dihindari dari murkaNya. Bahkan, hamba yang sejati, jika mencintai Tuhannya, maka cintaNya lebih diharapkan daripada nikmat syurga. Begitu juga, murkaNya lebih ditakuti dari azabNya. Lihatlah cinta sesama manusia. Seseorang yang tahu, orang yang dikasihinya, tidak pernah mengasihinya, hatta takkala orng yang dikasihinya tersebut menghadiahkan segunung emas sebagai hadiah sekalipun, tiada nilai di sisinya, kerana dia tahu, yang memberi hadiah tersebut, memberi hadiah tanpa cinta di hatinya. Seseorang yang mencintai seseorang pula, jika yang dicintai (kekasihnya) pun mencintainya, maka hatta dimarahi dan dicubit oleh yang dicintainya pun, tidak terasa akan sakitnya, kerana sudah mendapat cintanya. Nah, cinta Ilahi lebih tinggi nilainya dari contoh yang diberikan, tetapi tak ramai yang mampu mengecapinya, dan semoga Allah s.w.t. memberi kita nikmat cintaNya, amin...

Kerana itulah, dalam lirik tersebut, menggunakan istilah: "andai murkaNya menghukum leka", bukan azabNya menghukum leka. Ini kerana, seseorang hamba yang tulus dalam mencintai Tuhannya, yang paling ditakutinya bukanlah azab neraka, tetapi murkaNya. Di sinilah tersematnya rahsia doa Saidatina Rabiatul Adawiyah yang masyhur tersebut. Hanya yang merasainya sahaja yang memahaminya, kerana cinta itu bukan di atas lampiran nota, atau bahasa bicara, tetapi cinta itu apa yang dirasa. Dan, hanya yang merasainya sahaja yang mengerti tentangnya.

Maka, si hamba tersebut lantas berkata:

Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
ku nafikan yang fana,

Dalam lirik ini, ada beberapa makna yang tersembunyi. Antaranya ialah, matlamatnya dalam usaha untuk meninggalkan cinta duniawi, hanyalah semata-mata kerana cinta, cinta kepada yang Selayaknya, iaitulah, Allah yang Maha Pencinta. Perkataan: "yang Selayaknya" merujuk kepada Allah s.w.t.. Adapun maksud: "Selayaknya" tersebut, ada dua makna yang perlu di halusi.

Jika yang dimaksudkan oleh penulis lirik, bahawa, hamba tersebut merasakan bahawa, hanyalah yang layak memiliki cintanya ialah Allah s.w.t., bererti, dia merasakan bahawa, Allah s.w.t.-lah yang layak dicintaiNya. Sememangnya benar, jika dilihat dari sudut kelayakan, Allah s.w.t. Maha Layak dalam Kesempurnaan. Begitu juga, segala pujian selayaknya hanya untuk Allah s.w.t.. Begitu juga, segala cinta, hanya selayaknya bagi Allah s.w.t. Ini merupakan suatu sudut RUBUBIYYAH, di mana Allah s.w.t. layak dengan segala kebaikan, keindahan dan kesempurnaan.

Namun, dari sudut kehambaan pula, seseorang yang memahami hakikat diri yang serba hina, dan memahami pula hakikat Allah s.w.t. yang Maha Mulia, sudah tentu merasakan bahawa, dirinya tidak layak untuk mencintaiNya kerana keagunganNya, sedangkan dia yang serba hina ini, manalah layak untuk mencintaiNya yang Maha Mulia. Seperti contoh juga, seorang anak khadam, tidak layak untuk mencintai sang puteri raja, dari kaca mata khadam itu sendiri. Inilah adab dalam cinta itu sendiri.

Seseorang hamba yang tahu hakikat kehinaan diri, pasti merasakan diri ini tidak layak untuk mencintai Allah s.w.t., bahkan tidak layak pula untuk dicintaiNya. Namun, setelah Allah s.w.t. memperkenalkan diriNya, bahawa Dialah yang Maha Pencinta, maka fahamlah hamba yang hina tersebut, bahawa, Allah s.w.t. mencintai kita, bukan kerana kita layak untuk dicintaiNya, tetapi kerana DIALAH yang MAHA PENCINTA. Dia Mencintai sesiapa sahaja kerana kelayakanNya untuk mencintai sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Laksana, sang raja masuk minang siapa sahaja yang dicintainya dari kalangan rakyatnya, adapun rakyat kebanyakan, dari sudut adatnya, tidak layak untuk meminang puteri raja, sedangkan Allah s.w.t. Maha Agung daripada perbandingan tersebut.

Oleh yang demikian, seseorang hamba yang mencintai Allah s.w.t., akan pasti bercampur malu di hadapanNya, kerana merasa diri tidak layak untuk mencintai dan dicintaiNya. Namun, atas dasar, tiada siapa lagi yang layak dicintainya melainkan Allah s.w.t., maka dia menghalakan cintanya kepadaNya kerana hanya Allah s.w.t.-lah yang layak dicintai. Jika seseorang mencintai selain daripada Allah s.w.t., bererti, menurutnya, ada selain Allah s.w.t. yang layak dicintainya, dan ini suatu perkara biadab terhadap Allah s.w.t.. Jadi, seseorang hamba perlu menghalakan cintanya hanya kepada Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t.-lah yang selayaknya untuk dicintai, kerana Dialah yang menciptakannya dan memberi nikmat kepadanya, dan hanya Allah s.w.t.-lah yang diperlukan olehnya (hamba tersebut). Lebih tinggi lagi, seseorang itu perlu mencintai Allah s.w.t. untuk menghargai cinta Allah s.w.t. kepadanya dan mensyukuriNya.

Setelah itu, hamba tersebut berkata:

Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya RedhaNya.

Setelah merintih, dengan penuh adab, hamba tersebut berdoa agar Allah s.w.t. menerima setiap pengorbanannya dalam merealisasikan ketaatannya sebagai seorang hamba, jesteru meredhai segala pengorbanannya, yang dilakukannya, atas nama cinta kepadaNya. Sememangnya, pengorbanan seseorang hamba tidak layak untuk meraih redha Allah s.w.t. yang Maha Tinggi, namun kerana sifat Pemurah Allah s.w.t.-lah, Allah s.w.t. meredhai para hambaNya yang berkorban atas nama cinta kepadaNya. Demikianlah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Seseorang tidak akan masuk syurga kerana amalannya." Sahabat bertanya: "Walaupun engkau ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya. Termasuklah saya. Cuma, (saya dapat masuk syurga) kerana rahmat dan kemurahan Allah s.w.t.."

Nah, kalaulah amal seseorang tidak dapat membayar harga syurga Allah s.w.t., mana mungkin mampu membayar harga redha Allah s.w.t. yang jauh lebih mahal berbanding syurgaNya. Jadi, para arif billah yang memahami hakikat ini, sentiasa memohon redha Allah s.w.t. dengan sifat kemurahanNya, bukan dengan harga usaha mereka. Cuma, maqam yang sederhana, seseorang hamba akan meminta agar Allah s.w.t. menerima amalannya kepadaNya, dan meredhaiNya daripada amalan tersebut. Sesungguhnya, Allah s.w.t. Maha Mengasihi para hambaNya, bukan kerana amalan mereka (yang pada hakikatnya adalah juga daripada Allah s.w.t.) tetapi kerana cintaNya yang tulus semata-mata, kepada hambaNya. Inilah nilai cinta Ilahi yang gagal difahami oleh para hambaNya.

Seterusnya, sang hamba yang berdoa tersebut sekali lagi merintih untuk mendapat simpati:

Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,

Lirik ini mengandungi zauq kesufian yang tinggi. Ini kerana, setelah mengetahui hakikat kepalsuan duniawi, dan hakikat keabadian dan keagungan cinta Ilahi, maka sang hamba tersebut sanggup membuat pilihan, sekiranya Allah s.w.t. berfirman kepadanya:

"Aku beri kepadamu dua pilihan. Satu sahaja yang boleh kamu pilih. Aku atau dunia. Kalau kau pilih Aku, kau akan kehilangan dunia dan kenikmatannya. Kalau kau pilih dunia dan kenikmatannya, maka kau akan kehilanganKu."

Maka, lirik ini menunjukkan jawapan sang hamba yang jujur terhadap Tuhannya, takkala diminta supaya membuat pilihan, satu sahaj daripada dua pilihan yang ada. Maka, jawab hamba tersebut: Biar sendiri hingga hujung nyawa, Asal tak sepi dari kasihNya" Maknanya, tak mengapalah kalau seluruh isi dunia lari dariku, kerana aku mempertahankan kasihMu, asalkan aku sentiasa dalam kasihMu, sudah cukup buatku untuk mengisi kesepian daripada makhluk". Inilah maqam kejujuran terhadap Allah s.w.t., yang mana, setiap orang perlu bertanyakan pada diri mereka sendiri, adakah aku mampu menjawab: "Allah", jika diberi pilihan sebegini. Fafham (maka fahamilah).

Benarlah kata Al-Imam Sidi Ibn Atoillah As-Sakandari r.a. yang pernah menyebut: "Apalah yang hilang daripada orang yang telah menemuiMu. Dan, apa pula yang dijumpai oleh orang yang kehilanganMu?" Dalam munajat beliau ini, ada makna yang kita bincangkan sebelum ini, dan makna yang lain yang tersembunyi melainkan kepada ahli zauqi (Allahumma ij'alna minhum).

Sang hamba tersebut yang merasai makna ini lalu berkata:

Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa.

Di dalam lirik ini, mengandungi hakikat terbesar bagi kewujudan alam ini. Namun, bukanlah di sini tempat perbahasannya. Ini kerana para ahlul khawas membincangkan tentang makna zauq sufi daripada lirik ini secara khusus, bukan pada umum, menurut para sufi. Cuma, dari segi yang mudah difahami, hakikat cinta yang wujud dalam dunia ini, semuanya daripada Allah s.w.t., dan hanya Dialah yang layak dicintai dengan cinta yang diberikan. Cinta daripadaNya kepadaNya, denganNya, untukNya dan keranaNya. Oleh yang demikian, para arif billah pernah berkata: "Alam ini wujud atas nama cinta", sesuai dengan tajuk lagu ini. Namun, alam ini wujud atas nama cinta Ilahi kepada makhluk ini sendiri. Bahkan, makhluk yang paling dicintaiNya ialah: Muhammad Rasulullah s.a.w.. Di sinilah tersimpan makna nur muhammadi yang sentiasa diperkatakan oleh golongan sufi.

Sheikhna Yusuf Al-Hasani sering meningatkan bahawa: "percayalah bahawa Allah s.w.t. mencintai kamu. Kalau Dia tidak mencintaimu, nescaya Dia tidak akan menciptakanmu". Maknanya, kewujudan makhluk yang wujud atas nama cintaNya kepada makhlukNya.

Bahkan, para arif Billah yang merasai tauhid al-mahabbah, amat memahami makna "hakikat cinta: hanya Dia yang Esa", dengan makna yang lebih mendalam. Dalam lirik ini, tidak mengatakan: "hakikat cinta: hanya kepadaNya yang Esa", atau "hakikat cinta: hanya cintaNya". Tetapi, dalam lirik menyebut: "hakikat cinta" DIA YANG ESA" Di sini bermaksud: "ALLAH ialah HAKIKAT CINTA". Hal ini difahami oleh ahlu zauq dan semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin.

Setelah itu, hamba tersebut menutup dengan satu doa atau satu nasihat:

Saratkan hati ini,
dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai,
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya

Dalam lirik terakhir ini, digunakan perkataan: "saratkan..." yang membawa makna suruhan (amr). Namun, dapat difahami daripada lirik ini dengan dua makna. Samada ia merupakan suatu doa (yang menggunakan ayat suruhan, tetapi bermakna doa) ataupun suatu saranan kepada diri sendiri dan kepada orang lain yang membaca lirik ini.

Kalau saranan bererti, si penulis lirik menasihatkan dirinya dan para pembaca, agar meletakkan hanya Allah s.w.t. di dalam hati mereka.

Namun, jika makna doa, (yang merupakan makna yang lebih tepat menurut siyaq/petunjuk ayat) bererti, dia memohon kepada Allah s.w.t., agar memenuhi hatinya dengan cinta hakiki, iaitu cinta kepadaNya semata-mata. Maksud perkataan cinta hakiki boleh difahami dengan dua makna, berlainan maqam. Samada, memahami "cinta hakiki" sebagai cinta kepada Ilahi s.w.t, ini meurpakan maqam permulaan dan pertengahan bagi para pencinta Ilahi. Ataupun, memahami makna cinta hakiki dengan makna "ALLAH" bererti, dia berdoa kepada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. memenuhkan hatinya denganNya. Terdapat perbezaan yang amat halus antara hati yang sarat dengan cinta Ilahi dan hati yang sarat dengan Allah itu sendiri, dan hanya yang merasainya, akan memahaminya (semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin).

Ini kerana, dengan cinta hakiki tersebutlah, seseorang hamba dapat merasai nikmatNya, SyurgaNya dan RedhaNya yang merupakan keinginan dan kelazatan yang paling tinggi. Semoga Allah s.w.t. mengajarkan kita erti cinta hakiki, agar kita mampu mencintaiNya dengan cinta hakiki di samping menjadikanNya sebagai cinta hakiki kita, dengan bantuan dan cintaNya, amin..

Wallahu a'lam...

oleh
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
R.A. Mukhlis



TINTA BUAT BAKAL SUAMIKU

|
Coretan Seorang Sahabat Buat Bakal Suami...Dan Ingatan Buat Baka Isteri
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali.


Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya kukhususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang kujaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.


Aku telah dididik ibu sejak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu daripada mereka. Jadi, kau telah wujud di dalam diriku sejak dulu lagi.


Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku untuk mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku daripada mengenali mereka kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka.


Kerana itulah, aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih bersifat 'perumahan' kerana rumah itu tempat yang terbaik buat seorang perempuan. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi bagiku, lebih baik berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata.


Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan kubuat expressionless face dan cool. Akan kupalingkan wajahku dari lelaki yang ralit merenungku ataupun cuba menegurku. Aku cuba sedaya mungkin melarikan pandanganku dari ajnabi kerana pesan Sayyidatina Aisyah, sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang. Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.


Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan. Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai disoal? Adakah itu sumbanganku pada manusia selama hidup di muka bumi?


Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, akulah yang terlebih dahulu perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Andainya aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku aku juga perlu menjadi perempuan yang baik untuknya. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?


Tidak kunafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Setiap kali perasaan itu datang setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah di bahagi-bahagikan.


Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak. Berbagai-bagai dalil kukemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ sebaliknya sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh kehidupanku yang ceria selama ini telah dirampas dari diri ini.


Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan.


Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kurasakan seolah-olah dirimu wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Kutahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, woman intuitionku yang mengatakan lelaki itu bukan untukku.


Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih berlian sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang bisa wujud di mana-mana. Namun, aku juga punya keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu.


Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S. yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti akan mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasanmu itu padaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syarak. Aku bimbang perlakuan itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.


Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada jalan mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk kau berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan kukesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.


Aku pasti berendam airmata darah andainya kau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang kumimpikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.


Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibu bapaku.


Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agama. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Hilangnya Permata

|

Salam pembuka bicara.... Hari terasa pilu di hati yang penuh sawang labah-labah. Mane taknya..seorang sahabat yang dalam proses nak mendampinginya sudah meninggalkan Ardu Kinanah. Hajat di hati yang kecil ni. Teringin sangat mencebok..menyenduk..menyedut segala ilmu yang dimilikinya..tapi kan daya..orang dah blik kampung. Tapi tak leh lak nak paksa dia.. Hari 21 Jun 2009. Merupakan hari diselubungi kesedihan dan kesepian. Tiga dari geng Kalghari,Nik Os dan Pet, alhamdulillah dalam perjalanan ke Bumi Haram untuk menunaikan Umran. Semoga kalian selamat sampai, selamat pulang dan tenang menunaikan ibadah di sana.

Imbasan Filem tanpa skrip hari ni yang bertajuk HILANGNYA PERMATA
Part 1:
Selesai je solat asar..bersiap nak ke rumah Ustaz Hosni. Di mana tempat para jemaah Umrah berkumpul. 1st niat aku ke sana adalah untuk jumpa nik sebab nak ambik software Adobe Photoshop cs4 arabic. Tapi malam tak matahari barang yang aku nak tu tak de. tapi xpela. aku ubah niat nak hantar diorang kat tremco je. sambil-menyibukkan diri dan berposing-posing adalah minah arab ni..wat-wat sibuk depan kitorang berkumpul..macam la xde jalan lain nak lalu. ape lagi...mata mat jantan yang tak berlesen.. mencuci mata la kejap..xleh lama-lama..kejap je. tiba-tiba ust Hosni untuk menghitung dan membilang cukup tak anak buahnya..tanpa skrip dan lirik dengan spontan je mulut ni cakap ngn ust Hosni "ust2...tlg ambik ijazah ngn syeikh2 kt sana ye" aku cakap..pas tu ust Hosni jawab "Insyallah...tulis nama ye"..fuhhhh,,dalam hati aku cakap"alhamdulillah"..tak bape seketika..mereka bertolak dengan lambain tangan yang menyapa ksedihan dan kegembiraan.

Part 2:
Pas tu..aku berpindah lokasi ke tempat lain. Masa ni aku nak hantar kawan gi Tanta..sesampai je tepi jalan (skip bape2 part). aku tahan teksi. Dalam beberapa minit, sati teksi datang.."Assalamualaikum..mauaf tanta" aku menyapa. Jawab pemandu "mesyi..Ya Allah..Irkab". dalam perjalanan ke mauaf(perhentian) suasana sesunyi syahdu..senyap je..bak kate orang negeri mek come "bunyi senyak jah"..lima minit kemudian sampai lah kat destinasi..aku menyapa lagi "driver" .." ya amm..instanna syuwayya..ana wassil sadiqi ila arabiah..ba'din ana gai tani.."..selepas je hantar kawan..aku menyapa lagi "driver".."ya amm..Insyallah aiz ruh illa madrasah nasriah". jawab ammu tu"mesyi"..suasana kembali menyepi..aku mendiamkan diri sehinggala aku sampai ke Madrasah Nasriah..pas tu...pe lagi..turun la..xkan nak duk dalam kete kot....

Part 3:
Dalam kul 10 lebih..aku dan kawan ke umah Aiman..yela rini dia dan kawan2 dia nak balik malaysia..dialah yang aku citakan awal2 tadi..sesampai je umah dia..aku terdengar suara orang menjerit..GOLLLLLLLLL....USA jaringkan..mase tu..ada perlawanan di antara USA dan Mesir..tapi nasib malang untuk mesir..kena belasah 3-0.. Ahh,,,malas nak layan diorang,,tujuan aku datang nak jumpa Aiman...masa jumap dia..aku tengok.dia senyum je..tapi hati aku hiba..NAK BALIK JUGAKK..tapi apekan dayanya aku ni..sebab natijah xkuar lagi..jadi kena la duduk lu..lek lu sambil makan nasi lemak buat Ust Dayat..tapi kecian Ust Dayat sorang ni..tak terkata di mulutnya dan di hatinya..betapa sedihnya bila Ali Bait nak balik malaysia. tanpa mengiraukan orang lain..dia tenang mem"paking" barang Aiman..Aiman2,,,,dah dekat kul 11 tapi xbersiapkan diri lagi..ke hulu ke hilir..ntah la dia wat pe..x lama kemudian..tremco datang..barula sume kelam kabut nak bersiap..tapi alhamdulillah..semuanya ok selepas tu. Tanpa membuang masa.. kami gunakan masa yang berbaki xsberapa untuk berposing2 ngn Aiman..(senyum Dalam Hiba)..dah selesai sume.kami bertolak ke mator(airport)..

Part 4:
Sesampai je kat mator.,,fuhh,ramainya manusia melayu..ramai yang menghantar orang yang balik malaysia..kat cni tak lain x bukan tempat untuk berposing2 untuk last kalinya..cume sence kat cini hantar org je la..pas tu balik umah..tu je..xlarat dah nk sambung.mata dah ngatuk,..k..Untuk mu Aiman dan kawan...semoga selamat sampai dan kepada ali bait,,terutamannya ust Dayat..jangan sedih2,,,tabahkan dri..nanti jumpa kt malaysia..

p/s: kawan itu umpama diri kita kedua yang bakal membantu kita dalam membimbing kita..