Sembang234

Cara Rasulullah S.A.W Melayan Isteri

|

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu

urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.'

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu.. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')

Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.'

Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini.' tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu?'

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar,

'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia.'

'Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a.. w. 'Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?'

6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat..

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali.

Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?'

'Tidak, ya Umar.. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.'

'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda.

Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

'Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?'

Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin,menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?'

Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'

Subhanallah sungguh tinggi pekerti baginda Rasulullah SAW.

Ciri-ciri Keluarga Dinamik dan Bahagia

|

Untuk membentuk sebuah keluarga dinamik dan bahagia, ia merangkumi perkara berikut :

1. Komunikasi Suami Isteri

Komunikasi yang baik dalam keluarga boleh meningkatkan keseronokan, mengeratkan hubungan dan seterusnya membuatkan setiap ahli dalam keluarga merasakan ia dihargai dan dipunyai keluarga tersebut.

komunikasi yang sihat ialah komunikasi dua hala. Contohnya, isteri akan berasa seronok apabila apa yang diceritakan didengari oleh suaminya serta memberi tindak balas kepada apa yang dibincangkan. pasangan suami isteri harus bertoleransi antara satu sama lain.

Perkara-perkara yang perlu dielakkan bagi suami isteri agar keharmonian rumah tangga berterusan dan terpelihara :

a. Elakkan melakukan kritikan kepada pasangan.
b. Jangan menghina pasangan dan keluarga.
c. Gunakan perkataan yang sesuai dan munasabah apabila berkomunikasi.
d. Elakkan dari bertindak mempertahankan diri dan keluarga.
e. Jangan sentiasa mendiamkan diri.


2. Membudayakan tolong-menolong dan bantu-membantu

Umpamanya suami berkewajipan mencari nafkah atau membuat kerja2 yang memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri melakukan kerja2 yang agak ringan dan sesuai dengan kemampuan wanita.

Gotong-royong seperti membersihkan rumah patut diadakan di antara ahli keluarga sekurang2nya seminggu sekali. pengagihan dan pembahagian tugas mesti dilakukan. Contohnya pada hari minggu, isteri memasak di dapur, manakala suami pula boleh membasuh atau menjemur pakaian.

3. Sentiasa menjaga hati pasangan dan keluarga

Dalam mengharungi kehidupan rumah tangga, setiap individu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada apabila hendak menuturkan sesuatu. Jangan disebabkan kerana mulut badan binasa. Pilih dan nilailah ungkapan dan perkataan sebelum dituturkan. Elakkan dari melukai hati dan perasaan pasangan walau dengan apa cara sekalipun. Janganlah membuat perbandingan antara suami atau isteri dengan lelaki atau wanita lain.
Ingatlah pasangan kita adalah yang terbaik dan tercantik yang kita miliki.

4. Berfikiran terbuka dan bersedia menerima teguran dari kedua-dua belah pihak terutamanya mertua

Setiap rumah tangga yang dibina tidak sunyi daripada salah dan silap. Setiap pasangan hendaklah bersedia menerima dan memberi teguran. Tidak ada istilah 'QC' (Queen Control). Kehidupan rumah tangga sentiasa dihadapi bersama, berbincang dan selalu berunding. Kita hendaklah memahami bahawa tidak ada rumah tangga yang tidak mempunyai masalah.

Hadapi masalah bersama. Sekiranya ia adalah perkara kecil dan remeh temeh, janganlah diperbesarkan. Jika terdapat sedikit salah faham, sentiasalah bersedia memaafkan dan elakkan menanam perasaan marah dan dendam.

KESIMPULAN

Pengekalan keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kefahaman, kerjasama dan pengorbanan semua pihak terutamanya suami isteri. Siramilah rumah tangga dengan wangian kasturi. Berusaha bersungguh2 untuk menjaga kelangsungan rumah tangga. Tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Tidak ada rumah tangga yang tidak menghadapi masalah. Atasi masalah tersebut secara profesional dan matang. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan rumah tangga dinamik dan bahagia sebagai syurga yang mengalir sungai di bawahnya.

Persepsi Diri: Sikap Menunding Jari

|

Bangau oh bangau,
Kenapa engkau kurus,
Macam mana aku x kurus,
Ikan tak nak timbul,

Ikan oh ikan,
Kenapa tak nak timbul,
Macam mana aku nak timbul,
Rumput panjang sangat,

Dan seterusnya...


Teringat zaman sekolah rendah dulu, lagu ini lah yang selalu dinyanyikan tanpa memahami makna sebenar yang hendak di ketengahkan mesejnya. Sesekali difikirkan mungkin tak membawa mesej apa-apa pun, tetapi pernahkah sahaba terfikir bahawa mesej sebenar yang hendak di bawa ialah janganlah kita suka menuding jari kepada orang lain, kerana sifat menuding jari kepada orang lain ini tak akan mendatangkan manfaat buat diri kita mahupun orang lain. Apa yang kita akan peroleh jika kita hanya mampu menuding jari terhadap orang lain? Adakah sesuatu akan kita peroleh darinya? Pasti jawapannya ialah tiada apa-apa pun yang akan kita peroleh, ramai yang pasti bersetuju.

Sikap ini sebenarnya mencerminkan diri kita sendiri, kita umpama menuding jari kepada diri sendiri. Pernahkah sahabat berfikir apakah tindakan kita? Dengan hanya menunding kepada sesuatu permasalahan, masalah tidak akan selesai jika tiada tindakan dari kita, dengan menyalahkan seseorang, masalah juga tidak akan selesai. Yang pentingnya ialah tindakan kita, itu yang pasti.


Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw. Bersabda:


"Jika ada seseorang berkata: Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka"


Daripada hadis diatas Imam Nawawi menerangkan bahawa ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Shalihin beliau memberikan penjelasan seperti berikut:

Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasakan dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram.

Ada pun orang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya.

Daripada hadis ini serta penerangan hadis tadi, jelas menunjukkan kepada kita bahawa, kita tidak digalakkan bersikap suka menyalahkan orang lain tambahan lagi dengan adanya rasa bangga pada diri kita sendiri. Mungkin ada dikalangan kita yang berasa bangga apabila menuding kepada pekara-perkara yang tidak pernah kita lakukan. Maka mari kita sama-sama muhasabah diri kita sendiri, dia atau kita sebenarnya bermasalah. Mungkin dia bermasalah dari segi luaran sahaja tetapi kita bermasalah dari segi dalaman. Siapa yang lebih besar masalahnya?

Oleh kerana itu apabila kita cuba mengaitkan hadis tersebut dengan realiti umat Islam dewasa ini, maka janganlah kita merasa bangga dan ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menunding orang lain. walaupun hal kerosakan moral umat islam dewasa ini yang diketengahkan, biarlah pendedahan itu di dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.

Wallahu 'alam