Sembang234

Mesir gesa gencatan senjata serta-merta

|

SEBUAH klinik bergerak turut dmusnahkan oleh tentera Israel di Gaza.

Presiden Perancis bertindak sebagai pendamai

KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam mencadangkan rancangan untuk menamatkan pertempuran di Gaza, termasuk menggesa supaya diadakan gencatan senjata secara serta-merta antara Hamas dan Israel.



Cadangan itu dibuat pada sidang akhbar di Sharm-el-Sheik bersama Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang dalam rangka lawatan ke rantau berkenaan untuk bertindak sebagai broker pendamai. Keganasan menyaksikan sekurang-kurangnya 683 orang terkorban dalam tempoh 11 hari.

Cadangan Mubarak agar gencatan senjata diadakan bagi tempoh terhad bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, pertemuan segera di antara Israel dan Palestin bagi membincang cara mengelakkan tindakan ketenteraan seterusnya dan mencari punca konflik itu, termasuk menarik balik sekatan ke atas Gaza.

Beliau juga menggesa Pihak Berkuasa Palestin, di bawah kepemimpinan Presiden Mahmoud Abbas dan puak Palestin lain supaya memperbaharui rundingan damai. Palestin kini terbahagi kepada Tebing Barat di bawah Abbas dan Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas.

Mubarak tidak menyebut kumpulan Hamas secara khusus, tapi wakil Hamas yang menghadiri rundingan itu di Kaherah berkata mereka akan membawa balik cadangan itu ke ibu pejabat di Damsyik, Syria untuk perbincangan lanjut.

Pemimpin Mesir itu berkata beliau mengemukakan cadangan itu bagi menamatkan pertempuran.

Mesir sebelum ini memainkan peranan sebagai 'orang tengah' termasuk menganjurkan gencatan senjata enam bulan antara Hamas dan Israel yang tamat tempohnya Disember lalu sejurus sebelum bermulanya keganasan terbaru ini.



0 Respon Anda: