Sembang234

Maulud Di Mitgham

|


Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal. Semalam majlis diraikan lebih awal dari tarikh sebenar 27 Feb 2009 dengan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti nasyid, berselawat, berzanji, bagi meraikan golongan masyrakat di sebuah perkampungan di Mit Gham..sejam perjalanan dari Zagzig.

Semua ini adalah sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang menjadi manusia istimewa pilihan Allah. Kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung adalah rahmat bagi sekalian alam.

12 Rabiulawal 1430H

Kelahiran Rasulullah SAW mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda SAW benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini.

Di mana Allah pernah menceritakan dalam Al_Quran bahawa Baginda Diutus sebagai utusan untuk seluruh alam dan umat..dan Baginda SAW juga sebagai contoh tauladan yang sempurna untuk diikuti..sebagai kata-kata Saidah Aisyah RA bahawa akhlak baginda seperti Al-Quqan yang berjalan di muka bumi..

Perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan. Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.

Rasulullah SAW adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah SAW dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.

Kejayaan Rasulullah SAW yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati. Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.

Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1430.

0 Respon Anda: